Tokong tak kisah jika penyokong DAP benar-benar mahu boikot PRU14

Rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi politik sekarang patut mengadu pada parti, bukannya bertindak memboikot, kata Setiausaha Agung DAP yang juga merangkap sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen undi rosak yang digerakkan oleh kumpulan tertentu sebagai tanda protes menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Kempen itu mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada pilihan raya umum akan datang dan dilihat berterusan menerusi laman sosial Twitter dan komen-komen di laman media sosial lain yang disertakan dengan tanda pagar #UndiRosak, #SpoiltVote, #ProtesPRU dan #GEProtest.

“Mereka boleh suarakan pandangan mereka kepada DAP. Saya dah minta orang-orang saya menyusun semua maklum balas,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan berkata, bantahan oleh pengundi yang putus asa ini tidak memberi ancaman kepada Pakatan Harapan mahupun parti Roket itu dan menyifatkan ia sebagai pembaziran.

“Sama ada mereka nak bantah atau tidak, itu pilihan demokratik mereka. Tapi kami berpandangan yang rakyat perlu buat pilihan.

“Tidak memilih bukanlah pilihan langsung. Sebarang pergerakan untuk boikot (mengundi) sebenarnya pembaziran kertas undi. Tidak berguna,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga cuba menggambarkan kononnya Pakatan Harapan yang dikuasai DAP adalah pilihan terbaik dan lebih bagus berbanding Barisan Nasional (BN).

“Kalau awak buat itu (boikot), BN akan kekal berkuasa. Ia tak membawa apa-apa kecuali menguntungkan BN.

“Kami tak cakap yang kami (pembangkang) terbagus, tetapi kami tetap lebih bagus berbanding BN,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *