Tonga isytihar darurat ancaman Ribut Tropika Gita

NUKU’ALOFA – Tonga te­lah mengisytiharkan darurat dan mengenakan perintah berkurung berikutan ancaman Ribut Tropika Gita yang kini merentasi Lautan Pasifik dan dijangka membadai negara ini.

Ribut berkenaan telah menye­babkan keadaan huru-hara di negara jirannya, Samoa dan dijang­ka menjadi ribut kuat kategori lima ketika bergerak menghampiri Tonga.

Pemangku Perdana Menteri, Semisi Sika mengeluarkan amaran tersebut ke seluruh negara.

Sementara itu, Agensi Meteorologi Fiji meramalkan ancaman ribut tersebut berada pada skala tertinggi iaitu kategori lima sebelum sampai ke Tonga pada malam ini.

Ribut itu membawa angin selaju 275 kilometer sejam ketika berada di luar pantai timur Pulau Tongatapu yang paling padat penduduk.

Lori tentera telah bersiap sedia untuk membantu orang awam menyelamatkan diri daripada ribut ini dan pusat pemindahan juga dibuka di seluruh negara.

Pesuruhjaya Polis, Stephen Cald­well berkata, pihaknya telah mengumumkan perintah berkurung pada lewat malam di pusat bandar untuk melindungi orang awam dan harta benda.

“Kami menggesa orang ramai berlindung daripada taufan ini yang dipercayai paling kuat dalam sejarah negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pusat Ramalan Cuaca Tonga Fua’amoto memberi amaran kepada penduduk bahawa taufan itu akan menyebabkan kemusnahan.

Gita melanda Samoa pada Jumaat lalu dan menyebabkan 200 penduduk dipindahkan kerana banjir.

Dalam pada itu, Ketua Peramal Cuaca di New Zealand berkata, ribut tersebut dijangka hanya me­nunggu masa untuk melanda Tongatapu. – AFP

“ Ini adalah situasi yang sangat serius terutama kepada 75,000 penduduk negara itu,” katanya. – AFP

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *