Whatsapp dan Wechat jadi medium pelajar sekolah beli dadah

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam menangani penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini. Tetapi, kumpulan sindiket jenayah dadah ini juga dikesan semakin berani untuk menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menjual beli dadah.

Kumpulan jenayah dadah dikatakan merekrut ahli kongsi gelap, runner (penjual) dan keldai dadah di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan medium media sosial dimiliki oleh kebanyakkan orang termasuklah pelajar menyebabkan pelajar sekolah antara pelanggan aktif didapati membeli dadah melalui WhatsApp dan WeChat.

Beliau berkata, penglibatan pelajar sekolah dalam penyalahgunaan dadah pasti memberi tamparan besar kepada warga pendidik apabila mereka diletakkan amanah untuk mendidik anak bangsa.

“Apa yang pasti penglibatan remaja dalam masalah sosial dan kegiatan jenayah memberi tamparan hebat kepada warga pendidik seterusnya pihak Kementerian Pendidikan yang diletakkan amanah untuk mendidik anak bangsa.

“Tempiasnya turut dirasai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi penguatkuasa utama di negara ini,” katanya.

Katanya, terdapat 1,506 kes jenayah melibatkan pelajar sekolah dalam lingkungan umur tujuh hingga 18 tahun sepanjang tahun lalu telah direkodkan dan 1,772 tangkapan telah dijalankan sepanjang tempoh terbabit.

Selain itu, terdapat 469 kes melibatkan jenayah narkotik melibatkan pelajar sekolah dan tangkapan telah dibuat dalam tempoh sama dan dua dari jumlah terbabit melibatkan pelajar sekolah rendah.

“Menyedari jenis pelakuan jenayah adalah berubah-ubah mengikut persekitaran sosial sesebuah sekolah, PDRM melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan menyusun langkah yang lebih kreatif dalam menangani masalah disi­plin pelajar,” katanya.

Sementara itu, kes pelajar melibatkan salah laku terus berlaku dan seterusnya menyumbang kepada kejadian buli kerana perkara terbabit dirasakan pelajar sebagai sesuatu yang menarik untuk dilakukan.

Oleh itu, dalam usaha untuk mencegah gejala ini kerjasama PDRM dibuat melalui PPS, dalam membentuk kesedaran dan mengeratkan hubungan kedua-dua pihak.

“Melalui kaedah ini pelajar dan warga sekolah akan menerima maklumat berkaitan hukuman dan tindakan undang-undang sekiranya pelajar melakukan kesalahan jenayah di 10,200 buah sekolah, 435,000 guru dan lebih lima juta murid di seluruh negara,” katanya.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *