Adakah pengundi P.Pinang berani lakukan perubahan demi generasi depan?

PULAU PINANG – Adakah rakyat Pulau Pinang akan melakukan perubahan yang lebih mengejutkan lagi iaitu memilih parti lain selain Barisan Nasional (BN) dan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, kata aktivis sosial Pulau Pinang, Azman Haj.

Beliau berkata, ini bukan sesuatu yang pelik atau baru kerana Pulau Pinang adalah merupakan negeri di mana rakyat negeri Pulau Mutiara itu berani membuat perubahan yang tidak dapat difikirkan.

“Ada yang mengatakan BN bakal kembali menjadi kerajaan di Pulau Pinang jika dilihat dengan gelombang kebangkitan rakyat hari ini.

“Jika diimbas kembali, ketika tahun 1969 rakyat Pulau Pinang dengan beraninya memilih parti selain dari BN (Perikatan) iaitu Parti Gerakan dan PSRM sehingga menubuhkan kerajaan Gerakan Pulau Pinang dengan majoriti 2/3 (16/24 kerusi DUN Pulau Pinang).

“Tahun 2008 sekali lagi rakyat Pulau Pinang membuat perubahan mengejutkan apabila memilih DAP sebagai kerajaan negeri sehingga dua penggal sejak 2008, dalam keadaan DAP sendiri tidak menyangka mereka akan menjadi kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Itulah rakyat Pulau Pinang yang berani membuat perubahan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Azman Haj juga berkata, berdasarkan maklumat yang diterima banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan hanya bakal ditandingi dua atau tiga penjuru sahaja.

Kata beliau, sebaliknya sehingga lima, enam penjuru pun akan berlaku kerana di Pulau Pinang sudah ada banyak parti politik dan NGO yang menentang DAP dan dalam masa yang sama tidak menyertai BN.

“PAS juga telah menyatakan bakal bertanding di 20 kerusi DUN iaitu 15 di kawasan majoriti Melayu dan lima lagi kawasan marginal Melayu yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Mungkinkah negeri Pulau Pinang akan diperintah oleh satu parti baharu yang bergandingan dengan NGO dan PAS?

“Tidak mustahil juga mereka akan bergandingan dengan BN seperti mana berlaku dalam tahun 1969, ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri…kini anak beliau Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *