Guan Eng tak tahu berterima kasih dengan bantuan Kerajaan Pusat

PULAU PINANG – UMNO Pulau Pinang menempelak sikap Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sukar untuk berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) yang telah menghulurkan bantuan.

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya belajar bersyukur dengan segala bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 22,534 mangsa banjir di negeri ini yang ditimpa musibah banjir besar pada tahun lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa melaksanakan tanggungjawab dalam membantu rakyat di negeri Pulau Mutiara ini khususnya mereka yang ditimpa bencana dan musibah.

Kata beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak patut mempertikaikan jumlah sumbangan dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan bukan hanya menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai semata-mata, sebaliknya macam-macam bantuan awal yang diberikan menerusi pelbagai agensi kerajaan sebelum ini.

“Kenapa perlu bandingkan apa yang diberi kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan?

“Banyak bantuan telah kita berikan sebelum ini bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang sejak awal mereka dipindahkan, ketika berada di pusat pemindahan dan bantuan pasca banjir yang tidak diberikan kerajaan negeri.

“Hari ini mereka menerima lagi bantuan wang tunai RM250 setiap seorang bagi meringankan beban mereka.

“Saya harap Guan Eng reti (tahu) berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan diberikan kerajaan persekutuan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bencana Banjir 2017 bagi Parlimen Bukit Mertajam, baru-baru ini. Dalam majlis penyerahan bantuan tersebut, seramai 1,551 mangsa banjir di sekitar kawasan Bukit Mertajam menerima setiap seorang RM250.

Musa juga berkata, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan seharusnya sedar dan ingat kembali siapa pemimpin Kerajaan Persekutuan yang dicarinya semasa negeri Pulau Mutiara itu ditimpa bencana banjir teruk pada tahun lalu.

Beliau mengimbas kembali Guan Eng yang menangis minta tolong kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telefon pukul 3.00 pagi, meminta bantuan kerajaan persekutuan untuk membantu Kerajaan DAP Pulau Pinang menangani bencana berkenaan.

Guan Eng sebelum ini menuduh Kerajaan Persekutuan mengamalkan sikap pilih kasih dalam pemberian sumbangan kewangan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa Kerajaan Persekutuan hanya menghulurkan sumbangan kewangan RM250 kepada mangsa banjir yang terbabit dalam musibah itu pada November tahun lalu, berbanding RM500 kepada mangsa di negeri lain.

Inilah sikap pemimpin Pakatan Harapan terutamanya DAP yang tidak pernah bersangka baik atau positif terhadap Kerajaan Persekutuan. DAP tidak akan berubah. Parti Roket ini akan tetap dengan caranya, pentingkan diri, bongkak dan celupar. Mereka lebih gemar memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan daripada mengucapkan terima kasih atas segala usaha yang Kerajaan Persekutuan lakukan terhadap negeri di bawah pimpinan mereka. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *