Ini bukan kali pertama DAP pergunakan kanak-kanak untuk berpolitik

PULAU PINANG – Ini bukan kali pertama parti DAP mempergunakan kanak-kanak untuk tujuan kepentingan politik mereka, malah ramai penyokong parti Roket itu sebelum ini pernah membawa kanak-kanak membuat demonstrasi jalanan, kata Pengarah Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, baru-baru ini.

Azizi menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP itu semakin terdesak apabila menggunakan majlis bersama kanak-kanak tadika untuk kempen politik parti yang majoriti kaum Cina itu.

“Lim Guan Eng dan DAP sudah tidak berasa malu mempergunakan kanak-kanak tadika untuk kempen anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mereka.

“Sebelum ini, Lim Guan Eng pernah menuduh pemimpin nombor dua MCA sebagai ‘political lunatic’, tapi hakikat sebenarnya Lim Guan Eng sendiri ialah seorang lunatik politik hingga sanggup mempergunakan kanak-kanak bagi menjayakan agenda politik DAP,” kata beliau yang dipetik menerusi akaun media sosial Facebooknya.

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan dipanggil untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan berkaitan video yang memaparkan Guan Eng menyanyi dan menari serentak dengan lagu mempersendakan GST.

Polis Pulau Pinang juga mula siasat individu yang berkaitan apabila memanggil Penggerak Komuniti Muda (Peka), Masturah Afandi untuk merekodkan keterangannya.

Video yang tular itu menunjukkan Guan Eng yang juga merangkap sebagai Setiausaha Agung DAP mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan menyanyikan lagu anti GST.

Lirik yang dirakamkan didalam video berkenaan berbunyi; “A.B.C.D.G.S.T. Harga semakin tinggi. Tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee. Semua kena GST, bayar untuk 1MDB”.

Tambah Azizi, sepatutnya Ahli Parlimen Bagan itu berkelakuan lebih sejajar dengan jawatan Ketua Menteri yang disandangnya dan bukannya berkelakuan seperti kanak-kanak terlebih gula di hadapan anak-anak TADIKA yang hadir dalam majlis berkenaan.

“Kelakuan yang dipertontonkan oleh Lim Guan Eng kepada khalayak ramai pada majlis itu sungguh memualkan dan memalukan.

“Jika dulu PAS saja yang dikatakan menggunakan PASTI-PASTI kelolaan mereka sebagai pusat tarbiyah/asuhan ideologi politik PAS atau pusat pengkaderan awal penyokong PAS, kini DAP pula melakukan perbuatan serupa.

“Nampaknya DAP banyak belajar daripada PAS sepanjang DAP bersekutu dengan PAS,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *