Jafri Firdaus Chew sudah hilang sabar dengan FAP

SELEPAS empat bulan menunggu, penyerang PKNS FC, Jafri Firdaus Chew tampil menagih janji Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) untuk melangsaikan tunggakan gajinya yang masih berbaki dua bulan.

Jafri yang menyarung jersi Pulau Pinang pada musim 2016 dan 2017 berkata, dia sudah memberi tempoh mencukupi untuk FAP menyelesaikan masalah itu namun sehingga sekarang, masih tidak ada sebarang perkembangan positif.

“Saya amat memahami masalah FAP yang menghadapi bebanan kewangan, sebab itu selama ini saya tidak terlalu mendesak serta memberi masa untuk mereka menyelesaikannya.

“Namun, selepas sekian lama menunggu, tidak ada tindakan positif diambil persatuan itu untuk menyelesaikannya. Malah, FAP seolah-olah menyepi bila langsung tidak menghubungi saya untuk berbincang.

“Tunggakan gaji dua bulan itu mungkin dianggap tidak banyak tapi ia tetap hak saya sebagai pemain. Saya harap FAP tidak terlepas pandang isu ini walaupun kini saya sudah tidak bersama mereka lagi,” kata Jafri.

Pemain itu berkata, dia sudah membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bulan lalu dan menyerahkan kepada PFAM untuk membantu dia mendapatkan haknya.

Bagaimanapun, Jafri menegaskan, isu tunggakan gaji itu tidak sedikit pun menjejaskan tumpuannya bersama PKNS dengan fokus kini terarah untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama apabila menentang Kelantan, esok.

“Selepas hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kedah, saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula kepercayaan jurulatih, Datuk K Rajagobal.

“Perebutan tempat dalam pasukan memang sengit sama ada untuk posisi sayap atau penyerang tengah kerana perlu bersaing dengan pemain seperti Safee Sali, Mahali (Jasuli), Nurridzuan (Abu Hassan) serta pemain import.

“Tapi, selepas menjaringkan gol ketika menentang Hanelang FC pada perlawanan Piala FA hujung minggu lalu, saya mendapat keyakinan baru untuk terus bersaing. Saya harap diturunkan menentang Kelantan nanti,” ujar Jafri. – Arena

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *