Jika mahu sama taraf, beranikah Guan Eng lawan Najib di Pekan?

Sebelum ini, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sudah beberapa kali mencabar Setiausaha Agung DAP yang juga merangkap sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk berdebat tentang projek mega pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion yang menimbulkan pelbagai kontroversi.

Projek terowong yang dirancang oleh Kerajaan DAP itu juga menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun, Guan Eng sering menolak cabaran debat pemimpin MCA itu dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Terbaru, Guan Eng menolak cabaran debat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu atas alasan ‘tidak sama taraf’. Biasalah ‘orang nombor satu DAP’ ini merasakan beliau terlalu hebat. Kononnya tidak mahulah merendahkan darjatnya sebagai Setiausaha Agung DAP dengan menyahut cabaran debat dari pemimpin nombor dua parti MCA.

Bagi Setiausaha Agung DAP itu, pemimpin nombor MCA itu tidak layak untuk mencabarnya. Kata Guan Eng, ‘orang nombor satu mesti lawan nombor satu’. Ini barulah setanding dan sama taraf dengan beliau yang merupakan ‘orang nombor satu’ dalam parti Roket itu.

Jika mahu sama taraf, kenapa bukan Guan Eng yang bertanding untuk melawan Mah Siew Keong di Telok Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang? Kenapa perlu turunkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming  untuk lawan Mah yang merupakan orang nombor satu GERAKAN?

Lagi satu jika betul-betul Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu sama taraf, beranikah Guan Eng lawan orang nombor satu Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri di Pekan pada PRU yang bakal menjelang tidak lama lagi?

Ataupun Setiausaha Agung DAP itu juga boleh lawan dengan orang nombor satu PAS iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang? Bukankah kedua-dua pemimpin yang merupakan orang nombor satu dalam parti masing-masing itu setaraf dengan Guan Eng? Guan Eng tidak perlulah mempertahankan kerusi Parlimen Bagan sekiranya beliau mahu lawan sama taraf dengannya.

Itu pun jika Guan Eng boleh bertanding lah dalam PRU nanti. Sudah maklum, Guan Eng kini menantikan untuk dibicarakan di mahkamah berhubung skandal rasuah pembelian banglo di bawah harga pasaran. Guan Eng mungkin bakal hilang hak sebagai Ahli Parlimen jika didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah melibatkan penyalahgunaan kuasa berkaitan isu permohonan pengezonan semula status tanah dan pembelian banglo. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *