Keluarga tolak pemberian imunisasi punca anak dijangkiti penyakit difteria mati

Isu berkaitan memberi suntikan imunisasi atau vaksin kepada anak sejak bayi sudah lama diperkatakan apabila terdapat ibu bapa yang menolak pemberian imunisasi pada anak-anak mereka.

Pemberian imunisasi sebenarnya adalah sangat penting terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak kerana golongan ini sangat mudah untuk dijangkiti penyakit berbahaya.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah meninggal dunia dipercayai akibat penyakit difteria kerana dikatakan dijangkiti virus ‘misteri’ di Hospital Miri.

Bagaimanapun, apabila disiasat kanak-kanak itu tidak pernah mendapatkan sebarang suntikan imunisasi difteria sejak lahir kerana keluarga menolak pemberian imunisasi kepada anak mereka.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak itu pada mulanya mengalami gejala demam, batuk, selsema dan kesukaran bernafas tujuh hari sebelumnya.

“Hasil siasatan KKM mendapati kanak-kanak itu tidak diberikan suntikan imunisasi disebabkan faktor keagamaan,” katanya.

Dr Noor berkata tahun lalu terdapat 32 kes melibatkan difteria dilaporkan di seluruh Malaysia dan membabitkan tujuh kematian.

Katanya, kebanyakkan kes kematian disebabkan difteria ini berlaku adalah kerana keluarga kanak-kanak terbabit menolak pemberian suntikan imunisasi.

“Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan imunisasi difteria, mereka boleh dijangkiti bakteria Corynebacterium diphtheria yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak.

“Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini sukar bernafas,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya ibu bapa diharap dapat menyedari betapa pentingnya imunisasi kepada anak-anak mereka untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *