Kerjasama DAP dan Mahathir hanya untuk hancurkan bangsa melayu

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Sadudin mendakwa penentangan beliau terhadap bekas perdana menteri yang juga merangkap sebagai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan disebabkan benci, namun tidak mahu menyerahkan negara ini kepada parti DAP.

Katanya yang juga Presiden Empirical Malaysia, beliau bukannya mahu mencetuskan permusuhan dengan kaum Cina, tetapi tidak percaya pada parti Roket itu yang didakwanya mempergunakan Mahathir bagi menamatkan penguasaan orang Melayu.

“Saya mahu Tun mengerti bahawa saya melawan Tun hari ini bukan kerana marah atau benci tetapi kerana saya tidak mahu tercatat dalam sejarah tanah ini bahawa Tun lah orangnya yang menyerahkan kunci kota bangsa ini kepada bangsa lain.

“Saya tidak memusuhi bangsa Cina tetapi saya tidak percayakan perjuangan rasis DAP yang mempergunakan Tun untuk matlamat menamatkan penguasaan kuasa pribumi di tanah Melayu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pengasas PPBM itu juga berkata, beliau akan terus menentang PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Biar runtuh PPBM kerana sejarahnya tidak pernah menabur jasa kepada bangsa.

“Namun jika runtuh kerajaan Melayu ini di atas timbunan anak bangsa, batu nesannya akan tercatat nama Tun sebagai perobohnya. Itu sama sekali tidak akan saya biarkan terjadi.

“Biar saya diperangi oleh Tun dan kesemua ahli-ahli PPBM hari ini. Saya berpegang pada ijtihad bahawa perjuangan atas nama cinta pada bangsa tidak akan pernah merasa sakit walau tubuh binasa,” katanya.

Malah, bekas pemimpin PPBM itu juga turut mendakwa ‘trojan’ parti Cap Bunga itu sedang bersiap sedia untuk menyerangnya.

“Mereka tidak sayangkan Tun. Mereka hanya angguk apa sahaja cakap Tun walaupun Tun melakukan kesilapan kerana merekalah Melayu yang mengikut nafsu amarah, dengki, khianat si Kitol yang meruntuhkan Kota Melaka,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *