Larangan wanita bertudung paling tinggi dalam sektor pendidikan

Isu larangan bertudung terhadap wanita Muslimah terutamanya dilakukan di Malaysia merupakan sebuah negara Islam dilihat seperti mencabar sensitiviti umat Islam

Bagaimanapun, masih terdapat sektor tertentu yang mengenakan larangan bertudung kepada pekerja wanita beragama Islam.

Kajian Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menunjukkan sektor pendidikan adalah antara industri tertinggi yang meletakkan larangan bertudung pada pekerja wanita.

Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menjelaskan terdapat sebanyak 36 peratus pekerja wanita Islam dalam sektor terbabit telah pun dikenakan larangan dari memakai tudung.

Beliau berkata, larangan tersebut diikuti dengan industri hotel (27 peratus), bisnes dan kewangan (18 peratus), perubatan (5 peratus) serta lain-lain sektor sebanyak 14 peratus.

“Hasil kajian mendapati 21.8 peratus atau satu dalam lima wanita mengalami diskriminasi agama dalam bentuk hijab. Bukan hanya sektor perhotelan yang melaksanakan larangan itu, malah masih ada sektor lain juga menjadikan hijab sebagai isu.

“Di dalam sektor pendidikan ini kita mengetahui merangkumi kerajaan dan swasta. Kita jangan lupa bahawa kita mempunyai pusat pengajian swasta, yang mana mempunyai peraturan seperti itu menerusi kod pakaian,” katanya.

Dr Rafidah, akui kesal dengan beberapa industri di negara ini yang masih tidak menghormati hak agama wanita Islam.

Katanya, larangan bertudung itu bukan sahaja dilakukan oleh majikan tidak beragama Islam tetapi juga melibatkan majikan yang dimiliki oleh orang Islam.

“Kita menerima aduan yang berlaku dalam sektor pelancongan, di mana syarikat dimiliki majikan muslim meminta supaya pemohon memakai skirt pendek.

“Justeru, kita mencadangkan supaya akta kesamarataan digubal untuk melindungi wanita daripada diskriminasi agama di tempat kerja, tetapi harus mengambil kira sensitiviti agama dan budaya di Malaysia,” katanya.

Wanita Muslimah sepatutnya tidak diskriminasi mengenai tudung kerana tudung itu bukannya penghalang untuk melakukan kerja yang berkualiti atau menyebabkan syarikat terbabit mengalami kerugian. Bertudung adalah mengikut perintah agama Islam yang wajib ditaati. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *