Mahathir akhirnya bertemu ‘buku dengan ruas’

Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, keghairahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan beliau mengetepikan kepentingan negara dan rakyat hanya semata-mata untuk mencapai matlamat peribadinya.

Kata beliau, inilah yang dinanti-nantikan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akhirnya dapat memanfaatkan pengaruh bekas perdana menteri keempat itu untuk digunakan demi kemandirian politik masing-masing.

“Dalam sejarah politik Dr. Mahathir, beliau tidak pernah gagal untuk menjatuhkan seseorang, namun kali ini, baru beliau bertemu buku dengan ruas.

“Disebabkan ego beliau telah tercalar, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai tujuannya.

“Di sinilah PKR serta DAP mengambil kesempatan dengan menjadikan Dr. Mahathir sebagai boneka untuk menarik undi Melayu supaya mereka boleh melaksanakan agenda liberalisme dan kebebasan mutlak sekiranya berkuasa kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pakatan Harapan yang berhasrat untuk menghapuskan beberapa akta yang bersifat menekan, keras atau dirujuk drakonian, yang selama ini diketahui sebagai undang-undang pilihan Mahathir.

Ini merupakan antara akta yang diikrarkan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014.

“Yang penting, ISA yang menjadi pilihan Dr. Mahathir telah dimansuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan digantikan undang-undang lain yang tidak boleh digunakan untuk tujuan politik,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *