Pemilihan calon sesuai penting untuk tawan semula P.Pinang

Bukan senang untuk Barisan Nasional (BN) P.Pinang yang berniat mahu merampas kembali negeri berkenaan dari kerajaan DAP pada pilihanraya umum ke 14 nanti. Selain dari kerja keras dan jentera kempen yang efektif, BN juga harus mempunyai strategi ‘perang’ yang mantap serta berkesan.

Selain itu, kriteria calon yang dipilih bagi menghadapi calon DAP serta Pakatan Harapan di P.Pinang juga harus di titik beratkan oleh kepimpinan BN negeri. Jika calon yang dipilih tidak menepati ‘selera’ pengundi, alamat balik awal lah calon tersebut dan tak mustahil akan juga hilang wang pertaruhan.

Buktinya telah banyak ditunjukkan oleh pengundi apabila BN gagal memilih calon yang berwibawa dan mempunyai imej sebagai seorang pemimpin. Dun Seberang Jaya sebagai contoh, calon BN yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian ketika itu ditolak secara total kerana dianggap tak popular dikalangan penduduk setempat.

Ini membuktikan bahawa pemilihan calon sangat penting didalam menyumbang kemenangan sesebuah parti didalam pilihanraya umum yang bakal berlangsung. Sedikit saja kesilapan yang dilakukan, ianya pasti membawa kekalahan yang memalukan kepada BN nanti.

Kepentingan didalam soal pemilihan calon ini juga disuarakan oleh seorang Profesor dari Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid. Menurut beliau, faktor calon adalah penting terutama di kawasan bandar bagi menentukan kemenangan parti.

“Kajian saya sebelum ini mendapati (pengundi) di kawasan bandar melihat kepada calon. Adalah penting bagi BN memilih calon-calon yang disukai oleh pengundi.

“Memilih calon yang dipersetujui pengundi itulah calon yang akan membantu kemenangan BN,” katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Syed Hussein Idid – Satu Sejarah Ringkas’, di Georgetown.

Prof. Syed Arabi juga berkata, bakal calon juga perlu mendekati pengundi secara peribadi dengan membuat lawatan rumah ke rumah agar pengundi di kawasan yang ditandingi menerima mereka.

Pulau Pinang kini berada di bawah pemerintahan DAP selepas Pakatan Harapan menang pada dua pilihan raya umum lepas. Pada pilihan raya umum ke-13, DAP memperoleh 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR 10 kerusi dan PAS satu kerusi manakala BN melalui UMNO menang di 10 kerusi DUN.

PAS pula dikatakan bakal memberikan saingan yang kuat kepada Pakatan Harapan di P.Pinang dengan membuat pertandingan 3 penjuru dikebanyakan kawasan yang ada pertandingan khususnya kawasan majoriti melayu. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *