Penasihat Umum PAN dakwa ramai ahli UMNO dan PAS akan lompat parti

Ketika detik pilihan raya umum semakin hampir, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN), Ahmad Awang mendakwa ramai ahli parti UMNO dan PAS di Perak akan lompat parti untuk menyertai Pakatan Harapan yang didominasi DAP sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Kata beliau, mereka berkenaan hanya menunggu masa untuk melakukan demikian dan akan memberi undi kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang bila-bila masa sahaja.

“Kita nampak memang sekarang pun sebahagian mereka (penyokong PAS dan UMNO) tunggu bubar Parlimen. InsyaAllah, baru mereka berani.

“Saya difahamkan sama ada di sebelah ‘keris’ (UMNO) pun, ada yang menunggu masa bubar (Parlimen). Orang yang dulu berkeris pun nak pegang ‘bunga’ (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Bahkan, (mereka) sudah buat pertemuan dengan 30 penyokong tegar UMNO yang secara diam-diam menyebelahi kita (Pakatan Harapan),” kata beliau dalam satu kenyataan.

Malah, beliau mendakwa keadaan sama akan turut berlaku pada penykong PAS di Parlimen Bagan Serai, selain mendakwa calon PAS yang mahu diturunkan oleh PAS di Dun Semanggol dan Dun Selinsing tidak diterima pimpinan kawasan.

“Begitu juga dengan penyokong bulan. Kalau di Bagan Serai, dulu ada rumah jadi tempat berhimpun orang bulan bermesyuarat. Sekarang tidak lagi. Maknanya, dia sudah beralih.

“Apa lagi kita difahamkan calon (Pas) yang hendak dikemukakan di Dun Semanggol dan Dun Selinsing tidak begitu diterima pimpinan kawasan. Orang negeri yang akan bertanding,” dakwanya.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perak itu juga cuba menggambarkan Pakatan Harapan bakal menguasai Perak pada PRU-14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Ini satu petanda harapan kita (untuk menang) cerah. Kita percaya InsyaAllah, Perak memang dijangka akan dapat dimenangi oleh Pakatan Harapan.

“Kita disamping bekerja dan berdoa tapi sentiasa memerhati dan mengawasi pihak musuh yang mengupah orang untuk menyeludup.

“Bukanlah mencurigai semua orang tetapi mereka ini bila tiada pilihan, kaedah itu digunakan,” katanya lagi.

Pada PRU ke-10, Ahmad Awang pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai tetapi tewas kepada Datuk Zainal Abidin Zin. Zainal Abidin (UMNO-BN) menang dengan 19,827 undi, manakala Ahmad Awang hanya mendapat 14,213 undi.

Dalam PRU ke-11, Ahmad Awang sekali lagi kalah semasa bertanding sebagai calon Parlimen bagi kawasan yang sama dan calon DUN Selinsing.

Selain itu, pada 4 Jun 2015, Ahmad Awang tewas kepada penyandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden PAS. Abdul Hadi menyandang jawatan itu sejak tahun 2002 memperoleh 928 undi manakala Ahmad Awang hanya mendapat 233 undi.-Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *