Perkahwinan adalah komitmen seumur hidup, bukan main pondok-pondok

Menempuh alam perkahwinan bukanlah satu perkara yang main-main sebaliknya kahwin ini melibatkan komitmen seumur hidup. Bukan bila suka kahwin, bila mula rasa tidak suka mahu buang pasangan jauh-jauh.

Seseorang yang mahu berkahwin perlu mempersiapkan diri sepenuhnya mengenai ilmu pengetahuan tentang perkahwinan. Bersedialah untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Berkahwin pula bukan bermaksud dengan orang yang kita suka dan sayang sahaja sebaliknya sebelum berkahwin tanya Allah dahulu sama ada pasangan itu adalah pilihan yang tepat dengan buat solat Istikharah.

Pilihlah orang yang benar-benar mahu berkahwin dengan kita bukan dengan pasangan yang hanya tahu bermanis mulut dan pilih pasangan yang menjadikan kita lebih baik.

Pasangan berkahwin bukan hanya perlu sedia dari segi ilmu fardu ain dan fardu kifayah, bahkan persediaan fizikal, mental, ekonomi, malah sosial diri. Pernah dengar kerana wang suami isteri boleh bercerai?

Oleh itu, dalam perkahwinan berterus teranglah dengan pasangan tentang kewangan dan berusaha untuk membantu pasangan. Berlapang dadalah apabila memberi kerana perkahwinan ini semua adalah tentang memberi dan terus memberi.

Selain itu, perkahwinan itu bukan hanya dengan pasangan sahaja tetapi ia juga melibatkan keluarganya sekali. Terimalah keluarga pasangan dengan sebaik mungkin, kerana seumur hidup kita juga akan bersama dengan keluarga pasangan.

Apapun, berkahwinlah apabila telah bersedia iaitu kerana Allah dan bukan berkahwin kerana mahu berlumba-lumba dengan kawan-kawan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *