PKR import TKM P.Pinang ke Johor untuk tawan kerusi DUN negeri

Sudah diketahui bahawa Pakatan Harapan yang diketuai parti DAP berhasrat mahu merampas negei Johor daripada pegangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Difahamkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal menurunkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon di Johor untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri.

Bagaimanapun, Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak tidak mahu mengesahkan kerusi DUN mana yang bakal ditandingi beliau pada pilihan raya akan datang.

“Soal kerusi, biar pimpinan parti yang buat keputusan,” kata beliau yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, anak kelahiran Muar, Johor itu juga berkata beliau yakin Parti Pribumi Bersatu Melayu Malaysia (PPBM) mampu menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan di Johor.

“Dengan adanya PPBM dibantu PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), saya yakin kita dapat memberikan tentangan yang hebat.

“Saya nampak Parlimen sudah hampir pasti Pakatan akan rampas kebanyakan kerusi daripada BN, cuma untuk rampas negeri kita kena kerja keras lagi,” kata beliau.

Malah, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu juga mendakwa kalangan anak muda di negeri berkenaan sudah bersedia mahu melakukan perubahan.

“Dengan mood yang ada, saya yakin Pakatan Harapan boleh berjaya. Saya berinteraksi dengan beberapa pimpinan mahasiswa Johor di beberapa universiti, dia semua ke arah perubahan.

“Tapi yang tua-tua masih lagi susah, terutamanya kawasan kelapa sawit Felda. Kita harapkan anak-anak yang akan meyakinkan mereka.

“Dua tiga tahun yang lalu, saya tengok Johor memang ada potensi yang baik, itu yang saya turun padang.

“Contohnya di Muar, PKR kalah sikit sahaja masa PRU lalu. Begitu juga dengan Parlimen Ledang, sebab Ledang ini hometown saya walaupun saya bersekolah di High School Muar,” katanya.

Dalam PRU-13 lalu, Razali Ibrahim yang mewakili BN menewaskan calon PKR, Nor Hizwan Ahmad dengan majoriti 1,646 undi.

Sementara Parlimen Ledang pula, calon BN Hamim Samuri mengalahkan calon PKR Hassan Abdul Karim dengan majoriti 1,967 undi.

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan ADUN Pantai Jerejak itu bakal bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal bagi menggantikan bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman, pada PRU-14 nanti. Namun kini, beliau dikatakan akan bertanding di Johor pula. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *