Rashid Hasnon sokong Guan hasut kanak-kanak dengan politik

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Rashid Hasnon menyokong tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba menghasut kanak-kanak dengan politik, apabila menyifatkan tindakan siasatan yang diambil oleh pihak polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu kononnya tidak patut dan melampau.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, tindakan ini akan menyebabkan Guan Eng hilang kelayakan beliau menjadi wakil rakyat dan menyandang jawatan ketua menteri bagi sesuatu yang didakwanya ‘remeh’.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK) Negeri Pulau Pinang telah bermesyuarat semalam dan melahirkan perasaan kesal terhadap tindakan siasatan oleh polis ke atas ketua menteri Lim Guan Eng ini.

“Sungguhpun sesiapa boleh buat kritikan sama ada lagu sebegini patut dinyanyikan dalam satu program yang turut dihadiri oleh kanak-kanak di Perumahan Kos Rendah Mutiara Idaman 2, Jelutong, adalah melampau untuk dikenakan tindakan siasatan jenayah hanya kerana menyanyi dan menari serentak dengan lagu mempersendakan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan siasatan oleh polis ke atas Guan Eng berkaitan satu video yang tersebar memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Pantai Jerejak turut cuba menggambarkan siasatan terhadap Guan Eng itu seolah-olah berunsur politik atau suatu penyalahgunaan kuasa.

“Sama ada siasatan adalah bermotif politik atau suatu penyalahgunaan kuasa untuk mengganggu ketua menteri dalam tugas rasminya atau menjejaskan kesiapsiagaan beliau bagi Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, terpulanglah kepada rakyat untuk menentukannya.

“Tetapi adakah timbul double-standard apabila hanya ketua menteri Pulau Pinang yang diambil keterangan untuk sebarang laporan polis terhadapnya sedangkan laporan polis ke atas menteri atau menteri besar Barisan Nasional (BN) tidak perlu sama sekali?

“Jelas sekali tindakan sedemikian diambil semata-mata kerana pendirian tegas ketua menteri menentang GST dan mahukan ia dihapuskan,” dakwanya.

Kata wakil rakyat PKR itu, beliau akan sokong sepenuhnya Guan Eng dalam pendirian Ahli Parlimen Bagan itu menentang sistem percukaian yang diperkenalkan sejak 1 April 2015.

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan dipanggil untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan berkaitan video yang mencetuskan kontroversi tersebut. Polis Pulau Pinang juga mula siasat individu yang berkaitan apabila memanggil Penggerak Komuniti Muda (Peka), Masturah Afandi untuk merekodkan keterangannya.

Video yang tular itu menunjukkan Guan Eng yang juga merangkap sebagai Setiausaha Agung DAP mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan menyanyikan lagu anti GST.

Lirik yang dirakamkan didalam video berkenaan berbunyi; “A.B.C.D.G.S.T. Harga semakin tinggi. Tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee. Semua kena GST, bayar untuk 1MDB”. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *