Tiga negara Islam berminat pelajari kaedah pengurusan Tabung Haji

Tabung Haji (TH) berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan haji dan umrah. Pengurusan Tabung Haji terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertauliah, profesional dan berintegriti, yang telah diberikan amanah untuk menguruskan haji dengan baik pada pencarum.

Kepakaran dan pengalaman TH dalam menguruskan haji dan umrah juga telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Terkini, terdapat tiga negara dikatakan berminat untuk mempelajari kaedah pengurusan urusan haji dan umrah dilakukan oleh TH.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihak TH bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman yang ada dalam memperkasakan lagi pengurusan haji dan umrah di rantau ini.

Katanya, antara tiga buah negara itu adalah Indonesia, Filipina dan Kemboja yang berminat untuk memperkukuhkan lagi pengurusan ibadah haji dan umrah di negara masing-masing.

“Bagaimanapun perbincangan masih di peringkat awal dan lebih banyak usaha perlu dilakukan sebelum kerjasama itu dapat direalisasikan.

“Selama ini, mereka tertarik dengan kepakaran dan pengalaman TH dalam menguruskan haji dan umrah yang turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Abdul Azeez berkata, pihak TH bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bukan semata-mata untuk keuntungan perniagaan sebaliknya adalah lebih kepada dasar mahu membantu sesama negara serantau.

“Di pihak kerajaan dan TH, kita tiada masalah untuk bekerjasama atau berkongsi pengalaman kerana apa yang dilakukan bukan untuk keuntungan perniagaan semata-mata sebaliknya atas dasar bantu-membantu sesama negara serantau,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *