Anak Allahyarham Fadzil Noor semakin hebat serang PAS menjelang PRU14

Sikap lantang anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Faiz Fadzil yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mengkritik parti PAS semakin menjadi-jadi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini Timbalan Ketua Pemuda PAN itu pernah mendakwa PAS melatih orang Melayu menjadi ganas dan semakin ekstrim sejak zaman 80-an dengan ‘Amanat Abdul Hadi’ sehingga sekarang.

Kini, Faiz terus menyerang dan mengkritik PAS apabila menyatakan beberapa perbezaan parti Islam itu dahulu berbanding hari ini yang di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa parti Islam itu hari ini sudah lupa perjuangan asalnya apabila tidak lagi berada di barisan depan menentang Barisan Nasional (BN).

“Malah (PAS) menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“PAS menjadi tongkat dan benteng terakhir kepada kekuasaan UMNO.

“Perjuangan PAS selama ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dengan tujuan ‘merampas’ kuasa daripada UMNO dan BN

“Apabila PAS mengambil langkah untuk berpecah daripada rakan-rakan parti pembangkang, menunjukkan bahawa PAS tidak mahu mengambil kuasa daripada UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau mendakwa PAS menunjukkan sikapnya yang bersekongkol dengan UMNO apabila parti Islam itu menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat telah meluluskan bacaan kedua RUU berkenaan dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak. Semua 11 anggota parlimen PAS yang menghadiri sidang mengundi menyokong RUU tersebut.

Rang Undang-Undang ini diperkenalkan bagi menangani lebih banyak masalah yang timbul akibat penyebaran maklumat tidak benar. Ini kerana isu penyebaran berita palsu adalah masalah yang dialami secara global berikutan perubahan teknologi komunikasi yang semakin berkembang terlalu pantas.

Malaysia juga tidak kecuali apabila sentiasa berhadapan dengan banyak cabaran dan impak daripada penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat dan memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran rakyat serta negara. Namun, pembangkang terus mengkritik dan membantah RUU ini.

Faiz juga mendakwa PAS tidak lagi mencerminkan sebuah parti Islam yang relevan dalam negara, dengan menggunakan sentimen agama dan perkauman sebagai hala tuju politik parti itu.

“PAS (dulu) cuba keluar daripada kepompong parti pak lebai dan membuat engagement dengan pihak dan organisasi bukan-Muslim.

“Tetapi sekarang PAS memainkan sentimen kaum dan agama, menunjukkan PAS menutup ruang engagement tersebut,” katanya.

Selain itu, anak Allahyarham Fadzil Noor ini turut mendawa parti Islam itu hari ini menunjukkan sikap takfiri, ekstremis, cepat melabel, bermusuh dengan semua orang; seolah-olah mahu kembali ke zaman “Amanat Hadi” pada 1981.

“Amanat Hadi adalah lambang kepada ekstremisme dalam pemikiran pemimpin PAS.

“Dengan mempertahankan amanat itu sampai sekarang, PAS mahu menjadi parti ekstrem yang tidak mahu berkawan dengan mana-mana parti lain kecuali dengan UMNO,” dakwanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *