Bekas ahli dedah penyelewengan wang untuk jentera dalam PPBM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sejak peringkat awal lagi telah mengalami masalah kewangan untuk menggerakkan parti, kata bekas Naib Ketua PPBM Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min.

Beliau yang juga bekas pengasas PPBM Kota Bharu berkata, setiap parti memerlukan dana bagi memastikan pengurusan parti berjalan dengan lancar khususnya jentera pilihan raya.

“Tetapi apabila dana itu tidak ada macam mana kita hendak menjalankan kerja. Ini menyebabkan saya sedikit dukacita.

“PPBM bukan parti seperti PAS yang tidak ada duit sejak dahulu lagi. Pimpinan PAS juga tidak seperti pimpinan PPBM yang lahir dari Umno, merupakan parti kaya dan pemimpinnya juga kaya.

“Sepanjang berada bersama parti itu duit tidak turun ke bawah. Saya kesian kepada bahagian dan jentera yang melakukan kerja di peringkat akar umbi.

“Kadang-kadang mereka terpaksa mengeluarkan dana sendiri, jadi inilah yang saya rasa seolah-olah berlaku penindasan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Malah, beliau juga berkata, mana-mana ketua bahagian PPBM yang tidak ada wang, bahagian tersebut akan mengalami masalah.

Kata Mohd Nor, beliau kasihan kepada bahagian dan jentera yang membuat kerja di peringkat akar umbi.

Sebelum ini, bekas anggota parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar pernah dilaporkan berkata, “Kita bukan parti yang memberi duit kepada ahli, tapi sebaliknya parti yang minta duit ahli.”

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, anggota dan penyokong parti Cap Bunga itu perlu berkorban dengan mengeluarkan wang sendiri demi perjuangan parti.

“Semua orang kena bagi duit. Jadi jangan cakap pasal duit, duit, duit. Jangan tanya mana peruntukan?,” kata Mohd Shariff.

PPBM yang diterajui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dibubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akibat kelemahan pentadbiran dan bantahan daripada ahli parti Cap Bunga itu sendiri. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *