Bekas YDP MAINPP mahu umat Islam P.Pinang tolak DAP pada PRU14

Bekas Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Profesor Madya Datuk Elias Zakaria mahu umat Islam menolak parti DAP yang ada agenda untuk menjatuhkan Islam, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Beliau berkata, umat Islam perlu memilih pemimpin yang bersungguh-sungguh mahu memartabatkan Islam sebagai agama negara dan bukannya pemimpin yang mahu menjatuhkan Islam dan menafikan hak orang Islam.

“Sebagai seorang yang dilahirkan sebagai seorang Islam dan mahu mati juga sebagai Islam, sebolehnya kita mahu menzahirkan Islam kita sampai kepada citra politik.

“Jadi kita mesti memilih pemimpin yang memenuhi kriteria Islam.

“Jika dari segi zahir dan batin kita lihat dia nak perjuangkan Islam, kita pilih dia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

Elias juga berkata, umat Islam perlu bijak menilai kelayakan calon pemimpin yang mahu dipilih untuk memerintah negara.

Ini kerana, kata beliau, bagi menjamin Islam terus dimartabatkan dan terbela maka calon pemimpin itu harus menepati ciri-ciri seorang Islam dan memiliki kecekapan serta kepakaran untuk memerintah negara.

“Kalau contoh seseorang individu hanya tahu memandu lori tetapi tidak cekap memandu lori, kita pun tidak mahu beri pinjam lori kepada dia.

“Apatah lagi untuk menjadi pemimpin negara yang akan memandu negara dengan segala kuasa undang-undang, kuasa ekonomi.

“Jadi kerana itu kita sebagai umat Islam perlu meneliti kriteria calon tersebut kerana ia akan memberi impak kepada maruah negara kita kelak,” tambah beliau.

Walaupun selama ini parti DAP tidak pernah mengakui mereka anti Melayu dan Islam, tetapi segala tindak-tanduk parti Roket itu selama ini telah jelas dan membuktikannya. DAP sudah jelas merupakan sebuah parti anti Islam meskipun di dalamnya ada beberapa orang pemimpin Melayu.

Buktinya apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng campur tangan dalam urusan fatwa-fatwa negeri berkenaan sebagaimana berlaku sebelum ini. Campur tangan yang dimaksudkan itu termasuk melibatkan fatwa penggunaan Kalimah Allah. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *