Berjayakah hasrat DAP rampas kerusi melayu guna logo PKR di PRU14?

Sudah maklum DAP menerusi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah bersetuju untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang dimahukan oleh Presiden PKR dan Pakatan Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Tindakan DAP yang sanggup mengenepikan ego dan maruah mereka hanya untuk mendapatkan sokongan pengundi orang Melayu kerana mereka sedar hanya sokongan pengundi kaum tersebut sahaja akan menjayakan impian mereka yang mahu berkuasa dalam PRU akan datang.

DAP juga pasti sedar dengan penolakan masyarakat Melayu yang masih menebal menolak parti yang memperjuangkan prinsip “Malaysian Malaysia” itu. Oleh itu, parti itu memerlukan logo yang boleh diterima semua pihak.

Maka, atas sebab itu tidak menghairankanlah parti di bawah kepimpinan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng itu sanggup “menggantungkan” logo parti mereka sendiri dalam PRU-14 kali ini dan menggunakan logo PKR, walaupun parti itu selama ini tidak pernah menggunakan logo lain selain Roket.

Parti Roket itu sanggup menggadai maruah mereka hanya demi kuasa dan keinginan kuat untuk memenangi PRU-14 khususnya dalam misi mereka untuk menawan negeri Johor yang di bawah pentadbiran UMNO.

Sudah diketahui, ramai pemimpin nama besar DAP akan bertanding di negeri berkenaan pada PRU-14 akan datang. Walau apa pun, di sebalik perancangan ini, bagi ahli dan penyokong tegar parti Roket itu, mereka langsung tidak bersetuju dengan rancangan tersebut.

Terdapat ramai ahli dan penyokong DAP dikatakan tidak bersetuju dan marah dengan perancangan Setiausaha Agung DAP yang juga merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Bagi ahli dan penyokong DAP, parti itu sudah ada kekuatan yang tersendiri, apatah lagi pengundi kaum Cina sudah terlalu sinonim dengan logo parti itu.

Malah, salah seorang pengasas DAP, Chen Man Hin, turut tampil menyatakan kecewa dengan keputusan untuk bertanding tanpa menggunakan logo roket parti itu pada PRU-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Sebenarnya, apa yang mahu ingin dicapai oleh parti Roket itu adalah mereka mahu melihat berlakunya tsunami Melayu dalam pilihan raya kali ini.

Hasrat parti Roket itu kali ini adalah untuk meraihkan sebanyak mungkin undi orang Melayu dalam PRU-14 yang bakal berlaku bila-bila masa sahaja. Bagaimanapun, adakah orang Melayu mahu memberikan undi kepada parti Roket itu yang menggunakan logo PKR? –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *