Bidang kursus tak relevan di IPT akan dihapuskan

Hasrat kerajaan berdepan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dalam melahirkan pelajar berkemahiran digital dilihat memerlukan beberapa kursus yang kurang relevan dalam peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dihapuskan.

Sehubungan itu, Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sejajar dengan hasrat kerajaan pihaknya bersedia untuk melupuskan bidang kursus yang tidak relevan.

Jelasnya, disamping pelupusan kursus terbabit terdapat beberapa kursus baharu pula akan diwujudkan dalam mendedahkan pelajar kepda IR4.0 seiring dengan transformasi digital supaya lebih berdaya saing.

“InsyaAllah, tahun ini kita akan melatih 600 pensyarah bagi mengetahui apakah cabaran-cabaran pendidikan selaras dengan IR4.0. Kita bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut dan harus pastikan pelajar kita selaras dengan kehendak teknologi masa kini,” katanya.

Selain itu, Idris berkata graduan Kolej Komuniti di negara ini juga telah menunjukkan kadar kebolehpasaran yang tinggi apabila berada pada kadar 96.7 peratus sekali gus membuktikan Kolej Komuniti adalah institusi Pendidikan yang terbaik dalam negara.

Idris berkata, permohonan untuk memasuki institusi Pendidikan itu juga semakin meningkat kerana terdapat pelbagai kursus yang ditawarkan seperti seni bina, fesyen, pastri dan automotif sesuai dengan kehendak pasaran masa kini.

Sebelum ini, ibu bapa hanya melihat bidang TVET ini sebagai pilihan kedua dan ketiga untuk anak-anak mereka kerana menganggap bidang ini tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Sebaliknya, institusi pendidikan ini telah membuktikan tanggapan terbabit adalah salah dan telah menjadi pilihan utama ibu bapa untuk kerjaya masa depan anak mereka. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *