CCTV terbukti berkesan turunkan jumlah kes buli di sekolah

Isu buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sangat serius dan amat dibimbangkan. Isu ini mendapat perhatian seluruh masyarakat negara kerana terdapat beberapa kes buli sehingga menyebabkan kecederaan yang serius dan meragut nyawa.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menangani isu buli di sekolah ini antaranya dengan perlaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata kes buli di sekolah telah menunjukkan penurunan kepada 2,795 pada 2017 berbanding 3,448 kes pada 2016.

Beliau berkata, usaha pemasangan CCTV di sekolah untuk menangani isu buli di sekolah telah membuahkan hasil dan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mewujudkan sifar buli.

“Namun, kita di pihak kementerian belum gembira lagi, kita tidak boleh mendabik dada katakan kita dah berjaya, penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak akan lebih membantu mewujudkan keadaan sifar buli,” katanya.

Kamalanathan memaklumkan terdapat sebanyak lapan kamera dan dua monitor CCTV telah dipasang di setiap sekolah berisiko tinggi.

Katanya, pemasangan itu juga melibatkan tiga lokasi wajib di sekolah iaitu pintu masuk utama, dalam pondok pengawal dan depan pintu masuk pejabat pentadbiran selebihnya di lokasi ‘panas’ seperti bengkel, stort dan dewan makan.

Namun begitu, katanya pemasangan CCTV masih lagi diletakan di kawasan yang sesuai sahaja dan tidak bertentangan dengan hak kebebasan dan privasi murid serta guru. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *