DAP akan tinggalkan Pakatan jika Mahathir gagal di PRU14

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan pemilihan hari Rabu sebagai hari pengundian adalah satu rahmat kerana ia secara tiba-tiba membuatkan strategis terkemuka DAP, Dr Wong Chin Huat sendiri mengakui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal membawa Tsunami Melayu.

Malah, beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, bukan hanya itu sahaja, ia juga membuat strategis terkemuka DAP itu mengakui Pakatan Harapan akan tewas dan DAP akan tinggalkan pakatan pembangkang itu.

“Semalam, Dr Wong Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya Tsunami Melayu (doubtful of a Malay Tsunami) dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya Tsunami Melayu (there hasn’t been any conclusive evidence of a Malay Tsunami).

“Kata Chin Huat, dengan persempadanan semula yang meningkatkan bilangan kerusi majoriti Melayu dan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan campuran, hanya pengundi bukan Melayu sahaja yang boleh mengekalkan kedudukan Pakatan Harapan.

“Kata Chin Huat lagi, berdasarkan hasil persempadanan semula dan ketidakpastian Tsunami Melayu ini, jangkaan selamat boleh dibuat bahawa Pakatan Harapan tidak ada peluang langsung untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.

“Lebih menarik ialah jangkaan Chin Huat bahawa, selepas kalah, parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan akan menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan PAN akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS,” katanya.

Apa yang lebih menarik lagi, Kamarul Zaman berkata, jangkaan Chin Huat bahawa tindakan DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada tahun 1995, meninggalkan Barisan Alternatif pada tahun 2001 dan meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akan berulang lagi selepas ini.

Dalam pada itu, penganalisis politik itu juga berkata, amat melucukan bila Chin Huat menolak hasil kajian yang dilakukan oleh semua pusat kaji selidik tentang tiadanya Tsunami Melayu semata-mata kerana pemilihan hari Rabu sebagai hari pengundian.

“Sesatunya perkara yang menggembirakan Chin Huat ialah kerana tindakan SPR memilih hari pengundian pada hari bekerja, iaitu hari Rabu, yang kononnya merupakan pengakuan tersirat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tentang adanya Tsunami Melayu.

“Logik yang Chin Huat gunakan ialah bila hari Rabu dipilih sebagai hari pengundian maka Datuk Seri Najib Abdul Razak mahu menghalang pengundi Melayu dari keluar mengundi menyebabkan kebimbangan mengenai Tsunami Melayu akan hilang.

“Logik ini, bagi saya, adalah logik yang cukup bodoh sekali, apatah lagi bila selepas tulisan Chin Huat ini dikeluarkan kerajaan telah mengumumkan hari pengundian adalah hari cuti bagi memudahkan semua pengundi, termasuk pengundi Melayu, keluar mengundi.

“Inilah rahmat dari pemilihan hari Rabu sebagai hari pengundian, ia secara tiba-tiba membuatkan strategis terkemuka DAP sendiri mengakui Tun Dr Mahathir gagal bawa Tsunami Melayu, Pakatan Harapan akan kalah dan DAP akan tinggalkan Pakatan Harapan,” katanya.

Chin Huat adalah strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute iaitu sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kepakaran Chin Huat adalah dalam bidang pilihan raya di mana tesis PhD beliau yang diserahkan kepada University of Essex pada Ogos 2011 adalah bertajuk “The Implications of the Electoral System for Party Competition in West Malaysia, 1982-2004”.

Di dalam tesis PhD beliau ini, Chin Huat di antara lainnya menyatakan bahawa kemungkinan untuk pembangkang berkuasa di peringkat Pusat adalah hampir tiada (next to zero) kerana faktor “excessive gerrymandering and mal-apportionment of constituencies”. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *