DAP berang bila SPR larang guna gambar Mahathir semasa kempen PRU

Pakatan Harapan terutamanya parti DAP berang dan gelisah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan gambar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen gabungan pembangkang itu dalam pilihan raya umum nanti.

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo mendakwa keputusan SPR “pramatang”, selain cuba menegaskan tidak ada undang-undang yang membolehkan tindakan badan pilihan raya itu.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong, SPR sepatutnya menghormati prosiding mahkamah dan tunggu sehingga keputusan dibuat berkaitan pendaftaran Pakatan Harapan sebelum menetapkan apa-apa larangan terhadap pakatan pembangkag itu.

“Keputusan SPR ini juga boleh dicabar kerana kita tidak akan mengambilnya dengan mudah. Kami mungkin berjaya di Mahkamah Tinggi esok.

“Melainkan SPR sudah memutuskan permohonan kami akan gagal, mereka sepatutnya tunggu kerana keputusan itu boleh dicabar,” katanya.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, semua maklum mengenai tindakan undang-undang Pakatan Harapan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Permohonan itu sudah dibenarkan dan pendengaran akan dibuat hari ini. Kami berharap keputusan akan dibuat hari ini.

“Mengapa SPR membuat keputusan tanpa mengambil kira hal mahkamah? Bagi saya, SPR patut menghormati proses mahkamah dan menunggu keputusannya,” katanya.

21 Februari lalu, Pakatan Harapan memfailkan saman terhadap ROS, antaranya untuk mendesak jabatan berkenaan memberi maklum balas terhadap permohonan gabungan pembangkang itu untuk didaftarkan sebagai gabungan rasmi.

Gobind juga cuba menegaskan, sekiranya Mahkamah Tinggi memberikaan arahan kepada ROS untuk mendaftarkan Pakatan Harapan, ia bermakna mereka boleh menggunakan gambar calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu semasa kempen PRU akan datang.

Sebelum ini, ROS berkata Pakatan Harapan tidak boleh didaftarkan kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum memberi semua maklumat dan dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *