Dr Afif letak syarat untuk bertanding di Selangor pada PRU14

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin tidak tersenarai sebagai calon Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, malah dikatakan juga akan bertanding di negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua AMK itu dalam satu kenyataan berkata, beliau masih mahu mempertahankan dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya pada PRU-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, sekiranya dihantar untuk bertanding di Selangor sekali pun, biarlah secara strategik seperti untuk menang kerusi Parlimen umpamanya.

“Apa yang telahpun diberitahu kepada saya adalah terus bertanding di Seberang Jaya.

“Jika dihantar ke sana (Selangor), biarlah secara strategik seperti untuk menang kerusi Parlimen umpamanya, biarlah pucuk pemimpin parti yang putuskan,” kata Afif Bahardin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Menaiktaraf Taman Rekreasi Awam Sembilang, baru-baru ini.

Pada pilihan raya umum 2013, Afif dicalonkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding kerusi DUN Seberang Jaya, Pulau Pinang. Afif berjaya memenanginya dengan majoriti 2,459 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohammad Nasir Abdullah dan calon bebas, Shamsut Tabrej GM Ismail Maricar.

Pada 9 Mei 2013, Afif dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang (Exco) untuk Pertanian dan Industri berasaskan Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan bagi menggantikan Law Choo Kiang yang dilantik sebagai Speaker baru Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *