DUN Permatang Pasir semakin mundur di bawah pentadbiran Pakatan

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir merupakan satu-satunya kerusi milik PAS di Pulau Pinang. Namun, jika dilihat kawasan berkenaan jauh ketinggalan tidak kira semasa menjadi pembangkang mahupun semasa di bawah kerajaan DAP pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak tahun 2008.

Sebelum ini, kawasan DUN tersebut disandang oleh Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman yang meninggal dunia pada tahun 2009 sebelum pilihan raya kecil DUN yang menyaksikan Datuk Mohd. Salleh Man menggantikan tempatnya.

Walaupun menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), tetapi Salleh Man tidak berjaya membawa apa-apa pembangunan di Permatang Pasir.

Sebaliknya, Permatang Pasir didapati terdapat banyak kekurangan yang jelas boleh dilihat sama ada dari segi infrastruktur mahupun pembangunan fizikal. Dari segi aspek ekonomi pula, penduduk setempat rata-rata mengusahakan sawah padi.

Meskipun ada sebuah Giat Mara di Permatang Ara atau Kolej Komuniti Bukit Mertajam di Tanah Liat, sekolah menengah dan rendah serta Pejabat Pendidikan Daerah, itu semua merupakan hasil yang dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada kawasan itu.

Menurut Penyelaras DUN BN Permatang Pasir, Anuar Faisal Yahaya, terdapat banyak kekurangan serta kepincangan yang berlaku di Permatang Pasir.

Malah, beliau berkata, Salleh sendiri juga tidak berupaya menangani masalah-masalah yang dialami oleh penduduk.

Kata beliau, depoh menyimpan lori treler yang dibina di atas tanah pertanian dan jumlahnya semakin meningkat dari semasa ke semasa merupakan antara isu terbaharu yang timbul.

Tambahnya, masalah ini melibatkan keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang mempunyai risiko tinggi kemalangan termasuk kemalangan maut kerana berlanggar dengan treler ini.

“Jalan raya khususnya berhampiran Kampung Permatang Rambai dan Bukit Merah juga turut rosak teruk akibat sering dilalui oleh treler-treler ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika BN memerintah, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) membina perumahan mampu milik di Taman Ara Indah yang mampu dibeli pada harga antara RM45,000 hingga RM75,000 seunit.

Beliau berkata, namun Taman Pasir Indah yang diusahakan oleh Salleh Man serta dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa pelancarannya menjadi projek rumah hanya ‘mampu tengok’ sahaja.

Beliau berkata, ini kerana harganya yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat Pulau Pinang khususnya kalangan anak muda.

“Dengan harga serendah RM350,000 dan ada yang menjangkau sehingga RM600,000 mana mungkin dapat dibeli oleh golongan muda yang baharu ingin memulakan pekerjaan.

“Selain itu biarpun terdapat projek rumah pangsa mampu milik namun sehingga kini tiada sebarang berita sama ada ia telah habis dijual atau masih terbengkalai selepas lebih dua tahun di­siapkan,” tambah beliau.

Justeru, Anuar Faisal menyeru kepada 24,744 pe­ngundi yang terdiri daripada lebih 18,000 pengundi orang Melayu melakukan perubahan dan pilihan yang bijak supaya kawasan berkenaan tidak lagi mundur dan ketinggalan, dalam pilihan raya umum akan datang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *