Gara-gara berita palsu, jurutera dan mahasiswa di denda RM 3 ribu

Penyebaran berita palsu di media sosial merupakan masalah yang melanda di seluruh dunia. Berita palsu ini sememangnya harus dibendung dengan segera kerana ia menjadi ancaman bahaya kepada masyarakat dan negara.

Baru-baru ini, seorang jurutera dan mahasiswa telah didenda RM3,000, jika gagal membayar denda akan dikenakan satu bulan penjara di Mahkamah Sesyen kerana menularkan satu berita yang tidak benar di media sosial.

Mohd Azrul Alwin Mohd Yusoff, jurutera berusia 32 tahun, dan Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22 tahun pelajar sarjana telah mengviralkan satu kes mengatakan daging beku halal dan bukan halal disimpan bersama di Facebook masing-masing pada Julai 2017 lalu.

Kedua-duanya meminta orang ramai supaya berhati-hati terhadap empat kontena 30 tan daging beku halal dan bukan halal yang disimpan bersama di akaun ‘Rul Yusoff’ dan ‘Ann Syzwni’.

Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia yang telah menerima aduan mengenai berita itu telah membuat pemeriksaan ke atas kontena daging terbabit dan menegaskan bahawa berita itu adalah palsu.

Mengikut kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, dan juga boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 untuk setiap hari kesalahan itu terus dilakukan selepas disabitkan.

Hakim Zaman Mohd Noor telah memfailkan hukuman selepas mereka berdua mengaku bersalah kerana menyebarkan berita palsu. Kedua-dua mereka menjelaskan tidak mengetahui bahawa berita yang disebarkan itu adalah palsu dan minta hukuman diringankan.

“Saya tak tahu berita itu palsu. Saya update sebab nak bagi amaran dekat rakan-rakan Muslim saya,” kata Azrul.

“Saya sangat sedih dan janji tak akan ulang kesalahan yang sama,” Kata Ainin.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Norhani Mohd Adzhar, mendesak kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam.

Selain itu, denda yang diberikan itu juga sebenarnya boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *