Guan Eng dakwa nasib peneroka FELDA lebih baik dibawah Pakatan

Tidak cukup membawa banyak malapetaka di Pulau Pinang sepanjang tempoh mereka memerintah selama 10 tahun, kini Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba pula menggambarkan kononnya nasib peneroka FELDA akan lebih baik dibawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Inilah sikap Pakatan Harapan yang sering mendakwa kononnya mereka lebih baik mentadbir dan prihatin dengan nasib rakyat berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN). Sedangkan hakikatnya, itu semua hanya kata-kata kosong untuk menampakkan mereka ‘hebat’ dan ‘bagus’.

Menerusi status di media sosial Facebook Lim Guan Eng baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyatakan bahawa sekiranya gabungan pembangkang itu menang pilihanraya umum nanti, dengan usaha hapuskan penyalahgunaan kuasa dan ketirisan yang berlaku dalam FELDA, disamping mempertingkatkan pelaburan ke ladang FELDA tempatan dan membatalkan pelaburan ke luar negeri seperti Eagle High Plantations, dijamin bahawa peneroka FELDA akan dapat pulangan yang lebih lumayan.

Malah, ada yang memberi reaksi balas mengenai status Guan Eng itu dengan mengatakan Pakatan Harapan mampu melakukannya berdasarkan kepimpinan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor, selain ada yang menyindir parti PAS.

“Dengan bukti kemampuan mentadbir Pulau Pinang dan Selangor dalam jangka dua penggal, perkara ini sememangnya boleh berlaku”, kata seorang pengguna laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Akram.

“Kalau PAS cakap, tobat aku tidak percaya. Nak jaga Medan Ilmu yang Tok Guru Nik Aziz buat pun tak mampu…..”, sindir Nasri Fadhlullah.

Dakwa kononnya nasib peneroka FELDA akan lebih baik dibawah Pakatan Harapan, sedangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya orang Melayu di negeri Pulau Mutiara itu dengan baik.

Malah, sebelum menang DAP berjanji akan menjaga alam sekitar di Pulau Pinang dengan baik, tapi rakyat sendiri boleh lihat apa yang berlaku di negeri itu sekarang sehinggakan muncul bukit ‘botak’.

Begitu juga, projek mega pembinaan terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion yang hanya mencetuskan pelbagai kontroversi. Duit rakyat banyak telah digunakan, tapi sehingga hari ini masih belum nampak rupa terowong dibina. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *