Guan Eng patut menyanyi lagu GST depan anak sendiri, bukan depan murid-murid sekolah

Jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng masih mahu terus menjadi ‘penyanyi’ lagu parodi ABC dengan lirik anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), beliau boleh menyanyikan lagu berkenaan di rumah dan di hadapan isteri serta anaknya sendiri.

Beliau boleh menyanyikan lagu anti GST itu di hadapan isteri dan anaknya setiap masa sama ada ketika isteri dan anaknya mahu tidur atau semasa makan sekali pun. Tiada siapa yang akan larang dan akan membantah beliau. Menyanyilah sepuasnya sampai beliau bosan!

Tidak perlulah Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan skandal rasuah hartanah itu “bersusah payah” nak menyanyi sambil terkinja-kinja menari di hadapan anak-anak orang lain.

Ibu bapa anak orang lain pun sudah tentu tidak mahu dan tidak suka jika Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyanyikan lagu tersebut di hadapan anak mereka.

Dalam satu kenyataan, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyatakan beliau sedang menanti dan sedia untuk didakwa berkaitan tindakannya yang menyanyikan lagu anti GST berkenaan.

“Saya hanya tunggu bila mereka nak dakwa. Nampaknya mereka amat serius kerana saya nyanyi lagu anti GST.

“Itu pun boleh kena (siasat), macam GST itu suatu yang haram di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, meskipun sedang disiasat, beliau akan terus berkempen dan menyanyikan lagu anti GST berkenaan jika perlu.

Malah, Setiausaha Agung DAP itu juga mendakwa Barisan Nasional (BN) terlalu sensitif dengan isu GST.

“Jelas sekali GST adalah satu isu penting dalam PRU14. Sebab itu BN begitu sensitif dengan isu ini,” katanya.

Ini bukannya masalah sensitif atau tidak, tapi tindakan Guan Eng yang menyanyikan lagu anti GST itu di hadapan kanak-kanak sememangnya tidak wajar.  Masa depan pendidikan kanak-kanak tidak sewajarnya menjadi pentas perpolitikan murahan.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan kertas siasatan kes nyanyian lagu anti GST oleh Guan Eng di hadapan kanak-kanak di Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Idaman 2, Jelutong telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang.

Kes yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu diserahkan pada 2 April untuk tindakan lanjut bagi menentukan keputusan atau tindakan seterusnya jika perlu.

Satu video tular yang dimuat naik di Facebook milik Guang Ming Daily menunjukkan Guan Eng cuba mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan menyanyikan lagu anti GST itu pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang sebelum ini.

Antara bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu berkenaan termasuk, ‘A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee, semua kena GST, bayar untuk 1MDB’. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *