Guan Eng permainkan mahkamah semata-mata kerana politik peribadi

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lantang membuat tuduhan tidak bertanggungjawab dan tanpa bersandarkan sebarang bukti apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan mengawal mahkamah.

Bagaimanapun, tuduhan Setiausaha Agung DAP itu boleh disifatkan sebagai meludah ke langit, terkena muka sendiri.

Ini ekoran skandal kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berkaitan pembelian sebuah banglo mewah di bawah harga pasaran yang bermula pada 26 Mac lalu kini ditangguhkan sekali lagi oleh Mahkamah Pulau Pinang.

Penangguhan kali ini dilihat seperti sengaja memberi laluan kepada Guan Eng yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan berlaku bila-bila masa sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengumumkan tarikh penamaan calon, dan kes skandal rasuah Guan Eng itu sepatutnya masih lagi boleh dibicarakan seperti mana ditetapkan.

Jadi, atas dasar apa Mahkamah Pulau Pinang menangguhkan perbicaraan kes berkenaan sekiranya bukan atas arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sendiri.

Guan Eng sebelum ini sesuka hati sahaja menuduh Perdana Menteri mengawal mahkamah, sekarang ini apa cerita? Beliau sendiri tidak kawal mahkamah selepas dua kali perbicaraanya ditangguhkan ke?

Sebenarnya, jika diikutkan rasa tidak puas hati, pelbagai ‘fake news’ boleh direka oleh penyokong kerajaan mengenai Guan Eng yang ada kuasa mengawal mahkamah, tetapi perkara itu tidak berlaku.

Bukan seperti apa yang pernah dibuat oleh pembangkang yang sering melemparkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas semata-mata untuk mengkritik kerajaan saban hari.

Semalam, peguam Gobind Singh Deo, membuat permohonan menangguh perbicaraan rasuah Guan Eng di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, mengatakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan terlibat dalam proses pilihan raya umum.

Hadhariah menerima permohonan peguam Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan menetapkan 10 Mei bagi pengurusan kes. Perbicaraan akan bersambung pada 21 Mei.

Sebelum ini, perbicaraan juga pernah ditangguh bagi membenarkan Gobind dan Guan Eng menghadiri sesi Parlimen. Perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung semalam sehingga 12 April.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Guan Eng, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai, 2014 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn, di sini pada 28 Julai, 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *