Hadi yakin calon PAS mampu tawan Parlimen dan 3 Dun di Permatang Pauh

PAS telah mengumumkan calon-calon parti Islam itu yang akan bertanding di kawasan Permatang Pauh untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Calon-calon PAS itu akan bertanding di kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

Untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh, PAS menurunkan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon parti Islam itu untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Bagi DUN Penanti, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusuf akan bertanding manakala penceramah bebas, Ustaz Mohd Fawwaz Mat Jan pula diletakkan di DUN Permatang Pasir dan Ketua Pemuda PAS Permatang Pauh, Ir Ahmad Rafaei Dato A Rashid di DUN Seberang Jaya.

Pengumuman calon-calon PAS di kawasan berkenaan untuk PRU-14 nanti dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam satu majlis di Kepala Batas, semalam.

Menurut Abdul Hadi, pengumuman calon Parlimen Permatang Pauh dilakukan lebih awal ekoran beberapa faktor.

Kata orang nombor satu PAS itu, Permatang Pauh merupakan kawasan istimewa kepada parti Islam itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas sama ada beliau kekal bertanding di kerusi Parlimen Marang atau sebaliknya, Abdul Hadi berkata, ia tertakluk kepada keputusan parti.

Beliau berkata, kepemimpinan PAS juga masih belum memuktamadkan keputusan.

Sementara itu, Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang berkata, beliau yakin strategi dirangka parti akan memungkinkannya membuat kejutan dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerusi parlimen Permatang Pauh kini diwakili oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil yang diadakan pada Mei 2015 selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen setelah Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun sebelumnya.

PAS bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi tersebut kepada PKR pada pilihan raya tahun 1999, manakala Anwar pula mula mewakili parlimen tersebut sejak 1982 atas tiket UMNO.

Pada 1999, Anwar tidak bertanding namum, isterinya Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh hingga 2008, sebelum mengosongkannya pada 2009 untuk memberi peluang kepada suaminya kembali menjadi ahli parlimen kawasan tersebut. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *