Hisap rokok puas-puas di rumah sebelum pergi ke Stadium Perak

Usaha Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok serta menggalakkan perokok untuk berhenti merokok dengan memperbanyakkan zon larangan merokok adalah satu langkah yang mendapat sambutan baik dari masyarakat.

Terbaru, Stadium Perak yang telah berwajah baru selepas kerja-kerja naik taraf turut telah diwartakan sebagai zon larangan merokok.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, larangan merokok itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat bermula pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di antara Perak dan PKNS, 21 April ini.

Jelasnya, pelaksanaan stadium Perak sebagai zon larangan merokok juga adalah hasil kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kesihatan.

“Saya menerima banyak cadangan daripada peminat bola sepak yang mahukan supaya stadium ini dijadikan sebagai zon larangan merokok berikutan penontonnya terdiri daripada pelbagai golongan termasuk wanita dan kanak-kanak yang terganggu dengan asap rokok.

“Oleh itu, bagi memberikan keselesaan kepada semua pihak, kita perkenalkan elemen baharu dimana stadium ini dijadikan sebagai zon larangan merokok,” katanya.

Selain itu, orang ramai khususnya golonan perokok diharap dapat mengambil pendekatan untuk tidak merokok sepanjang berada di Stadium terbabit semasa perlawanan bola sepak.

Perokok boleh menghisap rokok di rumah puas-puas sebelum pergi untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium Perak. Kawasan stadium juga adalah sebagai tempat awam yang turut dikunjungi pelbagai pihak, termasuk wanita dan kanak-kanak. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *