Hukum berborak dalam surau atau masjid

Orang yang sedang bersolat adalah orang yang sedang bermunajat kepada Allah SWT. Oleh itu, orang Islam tidak boleh mengganggu kekhusyuan saudaranya yang sedang bersolat.

Bagaimanapun, sudah menjadi kebiasaan khususnya kaum hawa berborak dalam surau atau masjid ketika umat Islam lain sedang solat. Selalunya, perbualan ini akan bermula ketika kaum hawa sedang memakai tudung sehingga tidak berhenti diselang seling dengan ketawa kecil.

Ustaz Mk Azman menjelaskan tentang hukum berborak dalam surau atau masjid sehingga menganggu tumpuan jemaah lain untuk beribadah.

Beliau berkata hukum berborak itu sebenarnya berdosa apabila berborak mengenai hal-hal dunia sehingga mengakibatkan tumpuan jemaah lain yang hendak menunaikan solat.

“Ini kerana kita dilarang bercakap soal dunia di dalam masjid atau surau kerana di dalam rumah Allah ini, kita hanya digalakkan beribadah sahaja. Kalau hendak berborak hal dunia, kita harus keluar dengan segera dari ruang solat tersebut. Ruang solat adalah tempat untuk bersolat di mana orang lain mencari kekusyukan dari Allah dan bukannya bercakap soal dunia.

“Baca Quran dengan kuat dan masa yang sama orang hendak sembahyang pun dikira berdosa kerana mengganggu tumpuan orang apatah lagi berborak hal dunia. Baca Quran itu pahala tetapi jika sampai mengganggu orang lain sudah dikira berdosa,”katanya.

Katanya, dunia ini memang luas tetapi kita tidak digalakkan untuk berborak mengenai hal dunia terutamanya dalam masjid atau surau kerana dibimbangi akan menghilangkan i’zzah atau kemuliaan rumah suci Allah.

Ustas Mk Azman menasihati orang ramai yang menghentikan perbuatan berborak dalam surau atau masjid dan jika terdapat orang lain yang sedang berborak cukuplah sekadar menegur dengan meletakan tangan ke bibir sebagai tanda mahu mereka berhenti berborak.

“Jangan sampai terkeluar perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain hanya kerana kita hendak menegur perbuatannya itu,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *