Hukum membayar fidyah adalah wajib

Ramadhan bakal menjelang tiba dan perkara ini sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam. Tetapi, sering menjadi kemusyikalan terutamanya pada kaum wanita apabila mereka tidak sempat untuk mengganti puasa.

Berapakah kiraan fidyah yang harus dibayar oleh seseorang itu yang tidak sempat mengganti puasa. Menerusi laman sosial Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah memberi penerangan jelas mengenai fidyah.

Fidyah adalah denda yang dikenakan kepada seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti bulan Ramadhan.

Hukum membayar fidyah adalah wajib dan perlu disempurnakan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan. Sekiranya tidak dilaksanakan ia akan menjadi satu tanggungan atau hutang kepada Allah SWT.

Kadar bayaran fidyah ini berubah mengikut harga yang telah ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Oleh itu, orang ramai boleh membuat bayaran fidyah di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Antara golongan yang dikenakan fidyah adalah uzur menunaikan puasa wajib, perempuan hamil, ibu yang menyusukan anak, orang yang telah meninggal dunia (hutang puasa bagi mereka telah meninggal dunia), dan melambatkan ganti puasa.

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.

Bagaimanapun, dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu menggantikan puasa kerana puasa tersebut tetap wajib diganti mengikut hari yang telah ditinggalkan.

Jika bilangan puasa yang ditinggalkan itu sudah melangkau tahun maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *