Jangan percaya fitnah bahawa Malaysia akan muflis

Malaysia tidak akan muflis hanya dengan fitnah yang sering dilemparkan sesetengah pihak mengenai ekonomi negara ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata fitnah itu hanyalah perbuatan sesetengah pihak yang tidak beretika.

Beliau menegaskan bahasa ekonomi Malaysia sebaliknya berada di landasan ekonomi yang amat kukuh.

“Ini tidak benar sama sekali dan ia merupakan perbuatan beberapa orang yang tidak beretika, yang menyiarkan berita tidak benar melalui Internet.

“Sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang bertanggungjawab bagi pengurusan kewangan negara, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang amat kukuh,” katanya

Jelasnya, kadar pertumbuhan Malaysia pada tahun lepas mencatatkan pada kadar 5.9 peratus dan kadar itu dijangka akan terus meningkat kepada enam peratus.

Selain itu, katanya satu bukti jelas ekonomi Malaysia kukuh apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pelbagai kategori.

Sebelum ini, Perdana Menteri telah umumkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kumpulan yang menerima bayaran BR1M sebanyak RM400 akan ditambah kelayakan mereka untuk menerima RM800 bagi bayaran pada Jun dan Ogos.

Mereka yang memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah akan mendapat RM2,000. Manakala terdapat kategori baharu melibatkan pendapatan antara RM4,000 dan RM5,000, yang akan menerima bayaran BR1M sebanyak RM700.

Mohd Irwan berkata, tahun lepas juga menunjukkan Malaysia menerima pelaburan asing berjumlah RM39.2 bilion.

“Semua ini menunjukkan bahawa ekonomi negara ini sangat kukuh dan bukan seperti yang disangka kumpulan manusia seperti itu,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *