Jemaah Haji mungkin hilang subsidi RM 400juta jika Pakatan menang PRU14

Hubungan baik diantara Malaysia dan negara Arab Saudi boleh terjejas jika Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Begitu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, segala kemudahan termasuk subsidi yang diberikan kepada jemaah haji dan juga pendeposit Lembaga Tabung Haji akan turut terjejas jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bayangkan sekarang pun kita mendapat subsidi sehingga RM400 juta setahun untuk mengerjakan ibadah haji serta pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah kita disebabkan hubungan baik kita dengan mereka.

“Dan, jika kita kalah, semua ini tidak mungkin akan dinikmati lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, bukan hanya Tabung Haji namun apa saja yang berkaitan dengan pelbagai institusi seperti maahad tahfiz, sekolah agama serta pondok malah masa depan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekali pun akan turut terjejas sekiranya pembangkang berkuasa.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak RM500 juta wang simpanan dikeluarkan dari Tabung Haji sepanjang tempoh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat dakwaan terhadap Tabung Haji pada tahun 2016.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, tindakan tidak bertanggungjawab dibuat wakil rakyat pembangkang itu menyebabkan 3,600 pendeposit menarik diri daripada pergi mengerjakan ibadah tersebut.

“Fitnah ini menyebabkan pendeposit melakukan tindakan itu, malah dalam ruang untuk alasan disediakan (dalam borang) mereka menulis ‘saya hilang kepercayaan kepada Tabung Haji’.

“Bayangkan kalau duit Tabung Haji dilabur dalam bentuk aset seperti rumah, kilang dan tanah, mana kita cari tunai (untuk pulangkan wang kepada pendeposit), nasib baik kita ada tunai yang mampu tampung,” katanya.

Untuk maklum, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan telah mengeluarkan tujuh artikel berkaitan Tabung Haji yang memberi persepsi negatif serta menakutkan para pendeposit.

Tohmahan terhadapTabung Haji yang disiarkan Rafizi di media sosial telah menjejaskan reputasi perbadanan itu sehingga menyebabkan ramai pendeposit mengeluarkan wang mereka secara mendadak.-Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *