Kera liar ‘mengganas’ di Kulim Kedah

Kehadiran kera liar bukan sahaja membuat kacau dengan mengganggu bungkusan sampah sarap selain berani masuk ke rumah mencuri makanan, namun sekumpulan kera liar turut bertindak ganas apabila menganggu penduduk di Taman Kenari, Kulim Kedah sejak lebih setahun lalu.

Suri rumah, Ngisah Hasan, 63, menjelaskan masalah kera liar membelenggu penduduk di sini sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Kehadiran kera liar ini akan mencuri makanan dan masuk ke kediaman rumah mereka melalui bumbung. Keadaan itu membuatkan penduduk di sini membimbang untuk meninggalkan kediaman mereka

“Ada lubang-lubang kecil, tingkap pecah pun kera akan masuk, depa curi makanan terutama sekali telur ayam.

“Makanan kucing yang diletakkan di kawasan parkir dalam pagar rumah juga habis dikacau dan diselerakkan. Pokok buah yang ditanam penduduk juga tak sempat nak rasa hasilnya, habis dicuri kera.

“Nak tinggal rumah pun takut, nak pergi mana-mana mesti kena ada seorang jaga di rumah kalau tak habis rumah dipunggah dan diselerakkan,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Siti Nur Suhana Zulkifli, 35, berkata, kehadiran kera liar itu memaksa penduduk kampung mengambil inisiatif mengikat tong sampah atau meletakkan bata untuk mengelakkan tong sampah diselongkar kera.

“Tambah kalau tong sampah di luar rumah, lagilah kera ini selongkar. Kami ambil getah ikat pun dia tarik buang, tong sampah pun depa tendang.

“Habis bertabur sampah, kami pula nak kena sapu dan kemas semula. Kadangkala kami terpaksa simpan sampah sampai tiga hingga empat hari. Bayangkanlah bau sampah dalam rumah,” katanya.

Selain itu, katanya kehadiran kera liar ini juga sedikit sebanyak memberi ancaman kepada keselamatan khususnya kanak-kanak untuk melakukan aktiviti harian.

“Kami halau depa tak takut, lagi mai (datang) dekat nak terkam. Kadang-kadang kita dekat dalam anak bermain di luar pun rasa tak tenang kerana takut diserang pula dengan kera ini,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *