Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang mahu petugas pilihanraya elak bergaduh sesama sendiri

PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan simulasi ‘Mock Election’ di Pondok Turath, Juru bagi persiapan menghadapi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin terasa bahang dan bakal berlaku bila masa-masa sahaja.

Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar berkata, simulasi berkenaan sangat penting untuk petugas agar mereka sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Tidak menafikan betapa ilmu diperolehi pada simulasi tersebut antara yang sangat penting dimiliki petugas dan lebih sukar semasa mempraktikkannya semasa pilihan raya.

“Ia penuh dengan onak duri, tetapi cabaran itu tetap perlu dilalui untuk sampai kepada matlamat pertembungan itu hingga mencapai tujuan perjuangan,” katanya.

Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang itu juga berkata, beliau mahu petugas pilihanraya elak bergaduh sesama sendiri yang boleh mengurangkan kekuatan dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Simulasi ‘Mock Election’ itu bertujuan memberi pendedahan kepada para petugas tentang tatacara dan segala kemungkinan akan berlaku ketika proses perjalanan pilihan raya.

Simula tersebut disertai oleh para petugas pilihan raya PAS Kawasan-kawasan Zon Selatan negeri Pulau Mutiara itu iaitu PAS Kawasan Nibong Tebal, Bukit Mertajam dan Batu Kawan.

Tugas PACA, Penyelaras Status Keluar Mengundi dan Penyelaras K10 yang dianggap sebagai benteng terakhir proses pilihan raya merupakan antara keadaan diberi penekanan.

PAS Pulau Pinang dijangka akan bertanding 22 kerusi DUN termasuk calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Parti Cinta Malaysia. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *