Lebih banyak Produk berasaskan Harumanis akan dihasilkan

Di Perlis pastinya orang ramai ketika ini sibuk bercerita tentang mempelam Harumanis iaitu buah yang sudah menjadi ikon kebangsaan penduduk di negeri terbabit.

Harumanis sentiasa menjadi permintaan orang ramai kerana rasanya yang sedap serta berbau harum. Meskipun harga mencecah lebih RM30 sekilogram, mangga itu masih mendapat permintaan orang ramai.

Terkini, Jabatan Pertanian Perlis akan mempelbagaikan lebih banyak produk yang berasaskan harumanis antaranya dengan menggunakan buah yang gugur sebelum tempoh matang untuk mengurangkan kerugian.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Low Wei Han berkata harumanis akan diolah dalam pelbagai bentuk produk makanan, keperluan dan kosmetik.

“Selepas ini kami akan lancarkan tambahan produk baharu bukan sahaja daripada buah yang masak, kita juga akan ambil buah yang gugur dan akan proses untuk hasilkan pelbagai produk,” katanya.

Sehubungan itu, satu kerjasama telah dijalankan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang untuk mengkaji manfaat yang boleh dibuat melalui buah yang gugur sebelum matang.

Wei Han menjelaskan, orang ramai dengan ini bukan sahaja dapat merasai buah harumanis tetapi dapat berpeluang menikmati pelbagai menu di kafe disediakan pihak ladang.

“Sekarang ini di kafe sudah terdapat menu yang berasaskan harumanis seperti pulut harumanis, aiskrim, dadih, dan kordial harumanis yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Pihak kami juga akan turut bekerjasama dengan beberapa agensi pelancongan untuk mempromosikan harumanis kepada pelancong terutama dari luar negara seperti China.

“Konsepnya apabila pelancong datang ke sini mereka akan dapat menikmati pelbagai menu lain selain makan buah itu begitu sahaja,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *