Lebih banyak tempat larangan merokok akan diwartakan

Malaysia dijangka akan dapat mencapai sasaran sebagai Negara Bebas Asap Rokok menjelang 2045. Antara usaha dan strategi yang digunakan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu adalah dengan mewartakan lebih banyak tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menegaskan semua kawasan awam dalam negara akan dipastikan bebas dari asap rokok atau kegiatan bentuk merokok.

“Ini selaras dengan prinsip utama Artikel Lapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) – Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) iaitu semua tempat awam adalah kawasan tidak merokok,” katanya.

Menurut Hilmi, sehingga kini sudah terdapat 23 kawasan yang telah diwartakan sebagai larangan merokok mengikut Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, dan kawasan-kawasan lain yang diwartakan mengikuy Peraturan 22 peraturan sama untuk program Bandar Bebas Asap Rokok.

Katanya, sepanjang perlaksaan peraturan-peraturan terbabit sebanyak 131,624 notis kesalahan dan 58,872 kompaun dikeluarkan pada mereka yang lakukan kesalahan di kawasan tersebut.

Sementara itu, kementeriannya juga berusaha untuk membantu individu berhenti merokok dengan mewujudkan pusat mQuit di fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Tabiat merokok ini merupakan ancaman terbesar dan risiko utama menyebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyumbang lebih daripada setengah juta kematian di rantau ASEAN setiap tahun.

Malah, dianggarkan tujuh orang bagi setiap 10 orang dewasa atau 8.6 juta orang terdedah kepada asap rokok di tempat awam manakala empat orang untuk setiap 10 orang dewasa iaitu 7.6 juta orang terdedah kepada asap rokok di rumah di negara ini. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *