Mahathir dan DAP guna logo PKR kerana sudah hilang sokongan pengundi melayu

Tindakan parti DAP yang sanggup “menggantungkan” logo Roket dan mahu menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang kerana parti itu sudah hilang sokongan pengundi orang Melayu.

Bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, penggunaan bendera parti yang diterajui Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga dilihat sebagai DAP untuk meraih undi orang Melayu.

Kata beliau, DAP sebelum ini bekerjasama dengan PAS untuk mendapatkan undi orang Melayu namun selepas terputus hubungan politik kedua-dua parti itu, parti Roket itu memerlukan ‘ polisi insurans’ yang baru untuk memastikan mereka dapat sokongan orang Melayu.

“Ini juga membuktikan DAP tiada identiti politik yang kuat dan boleh meninggalkan identiti serta prinsip mereka pada bila-bila masa.

“Sebelum ini, mereka (DAP) bekerjasama dengan PAS untuk meraih undi Melayu. Sekarang mereka memecahkan hubungan antara mereka dan tiada persefahaman lagi.

“Sokongan orang Melayu sudah hilang, dan sekarang mereka perlu mengambil ‘ polisi insurans’ yang baru untuk memastikan mereka dapat sokongan orang Melayu. Satu-satunya cara adalah bertanding di bawah bendera PKR,” katanya.

Tunku Aziz juga berkata, parti Roket di bawah kepimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu juga akan kehilangan undi kerana rata-rata penyokong parti itu tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Ahli dan penyokong tegar DAP tidak berpuas hati dengan langkah DAP kali ini dan mereka mewakili peratusan besar sokongan daripada masyarakat orang Cina.

“Ramai penyokong yang berasa seperti dibelakangkan oleh tindakan ini kerana mereka tidak putus menyokong DAP selama ini,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat turut menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terbesar yang dibuat oleh parti Roket itu.

Beliau berkata ramai anggota parti yang lama dan sekarang tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.

“Sebagai bekas ahli DAP yang berada dalam parti selama 18 tahun, saya sudah berbincang dengan banyak ahli DAP yang terdahulu dan sekarang. Mereka sangat tidak berpuas hati dengan perkara ini.

“Malah anggota pengasas DAP, Dr Chen Man Hin yang berusia 93 tahun sangat kecewa apabila DAP memutuskan untuk tidak menggunakan logo roket untuk bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP mahu mendapatkan undi orang Melayu dengan menggunakan logo PKR dan ini hanya akan menipu orang Melayu.

“Ramai orang yang tidak berpengalaman dalam politik akan tertipu. Mereka sudah mengkhianati ahli DAP, dan kini hanya menunggu untuk menipu pengundi Melayu untuk mengundi mereka, “katanya.

Tuan Tat juga menyelar kepimpinan DAP yang begitu senang dan cepat bersetuju dengan bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan beberapa ahli DAP digunakan untuk menyerang Tun M dan sekarang mereka semua tidur bersama di atas katil yang sama.

“Apa motif utama mereka? Adakah mereka semua bimbang jika kerajaan yang memerintah sekarang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semua skandal mereka akan terbongkar?” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengundi orang Melayu agar tidak mudah terpedaya dengan pembangkang yang gagal menunaikan janji yang ditaburkan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *