Mahathir lari ke Langkawi kerana mahu lupakan “dosa-dosa” di Kubang Pasu

Bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad sudah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan pada 9 Mei ini.

Mahathir yang juga calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan dilihat begitu teruja apabila memuatnaik poster yang menunjukkan beliau adalah calon Pakatan Harapan bagi P004 Parlimen Langkawi di laman sosial Instagramnya pagi semalam.

Pengumuman pencalonan Mahathir dibuat oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail di Padang Mat Sirat di Langkawi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa mempersoalkan keputusan bekas perdana menteri keempat itu yang tidak kembali ke kawasan lamanya di Kubang Pasu untuk bertanding pada PRU nanti.

Keputusan Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak kembali bertanding di Kubang Pasu sebaliknya lebih memilih Langkawi sebagai kawasan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang mungkin disebabkan Mahathir sedar legasinya sudah dilupai oleh rakyat.

Syed Hafiz juga melihat Mahathir kini hanya diperalatkan oleh rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan semata-mata.

“PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan pembangkang dilihat memperkudakan Tun M untuk bertanding di Langkawi kerana dilihat ia sebagai kerusi selamat untuk mereka menang di Kedah, walhal hakikatnya rakyat di Langkawi memerlukan pemimpin yang lebih turun padang bersama rakyat.

“Mengapa Tun M tidak memilih untuk kembali ke kerusi lamanya ini juga menimbulkan pelbagai tanda tanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin Pemuda UMNO itu juga berkata, beliau tidak menolak bekas perdana menteri itu mungkin sedar dirinya tidak berpengaruh lagi sejak duduk ‘semeja’ bersama pembangkang.

Malahan, kata Syed Hafiz, anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz pun tidak berani untuk bertanding di Kubang Pasu.

“Dalam pada itu, jika Mahathir yakin sangat dengan pengaruhnya mengapa tidak diletak anaknya, Mukhriz bertanding di Kubang Pasu tetapi sebaliknya memilih calon luar.

“Adakah ini bermakna legasi yang ditinggalkan Tun M di Kubang Pasu tidak dihargai dan sudah dilupakan oleh pengundi Kubang Pasu,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan pengumuman pencalonan Mahathir baru-baru ini, beliau yakin rakyat boleh menilai kegagalan Mahathir ketika zamannya yang dilihat tidak mengutamakan rakyat sehinggakan sekarang pengundi di kawasan lamanya sendiri pun menolaknya.

“Jika kawasan sendiri yang ditandingi selama berpenggal-penggal pun tidak diyakini menang, masakan pembangkang dan Mahathir mahu menawan Kedah.

“Rakyat yang tidak berparti hari ini lebih menyedari kemampuan dan komitmen jentera dan calon BN akan mengotakan janji,” tambahnya.

Untuk rekod, Mahathir merupakan bekas Anggota Parlimen Kubang Pasu dari tahun 1974 hingga tahun 2004. Namun, beliau kini sudah membuat keputusan untuk bertanding Parlimen Langkawi dalam PRU akan datang kerana mungkin dianggap kerusi selamat baginya.

Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 merupakan kali terakhir bekas perdana menteri keempat itu bertanding dalam pilihan raya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *