Makin ramai rakyat cabar Guan Eng berdebat isu terowong

Isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion terus menimbulkan banyak persoalan dan keraguan selepas pelbagai pendedahan didedahkan. Namun Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga hari ini masih gagal persoalan-persoalan yang dibangkitkan, sebaliknya hanya mengelak daripada menjawab persoalan itu semua.

Begitu juga, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bersikap pengecut apabila sering mengelak berdebat tentang isu projek terowong ini, dengan memberi banyak alasan tidak masuk akal.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan terus dicabar berdebat mengenai isu projek mega DAP ini. Ini dapat dilihat apabila Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi turut mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu berkenaan di Restoran Kaffa Sunway Carnival Mall, Khamis ini.

Malah, Patrick berkata, beliau sanggup bertanding di Bagan dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya Guan Eng setuju hadir berdebat dengannya pada Khamis ini.

Cabaran ini susulan Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah gagal menghadiri walaupun menerima jemputan untuk berdebat dengan orang kedua parti MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Bagan baru-baru ini.

“Guan Eng memberi alasan Ka Siong bukan orang nombor satu MCA dan tidak layak berdebat dengannya, tambahan pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan.

“Jadi, saya ingin mencabar Guan Eng untuk berdebat mengenai isu terowong kerana saya orang nombor satu PFP dan saya sanggup bertanding di Bagan sekiranya beliau setuju hadir Khamis ini,” kata Patrick.

Beliau berkata, surat jemputan secara rasmi sudah dihantar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu di pejabatnya semalam.

Katanya, beliau berharap jemputan itu diterima agar rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang mendapat maklumat tepat berhubung isu projek terowong yang ketika ini sedang hangat diperkatakan.

Dalam pada itu, Patrick berkata, Setiausaha Agung DAP itu boleh mengenakan apa sahaja syarat dan beliau sedia menerima syarat berkenaan, asalkan perdebatan itu dapat dijayakan sepertimana yang diharapkan.

Selain itu, beliau juga berkata, Guan Eng sudah memalukan parti Roket itu apabila tidak memenuhi jemputan Timbalan Presiden MCA itu.

“Selama 60 tahun DAP ditubuhkan, mereka tidak pernah lari daripada berdebat dan diketahui umum pemimpin mereka berani mengkritik kerajaan, tetapi Guan Eng sudah malukan DAP Jumaat lalu apabila tidak memenuhi jemputan Ka Siong.

“Guan Eng sendiri ada ruang untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, tetapi tidak gunakan peluang itu, sebaliknya DAP hanya buat kucar-kacir di luar Parlimen,” tambah beliau. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *