Malaysia negara ekonomi ke-24 terbesar di dunia menjelang 2050

Nampaknya impian Malaysia menjadi negara maju bukan lagi bualan kosong kerana Malaysia dijangka akan menjadi negara ekonomi ke-24 terbesar di dunia pada 2050.

Hasil dari sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada global, teknologi dan pendidikan dijangka dapat menambah baik kedudukan Malaysia sekarang yang berada di tangga ke-27 kata Rakan Urusan PwC Malaysia, Sridharan Nair.

“Malaysia memiliki reputasi yang mesra perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Sridharan Nair berkata sejak 20 tahun lepas keadaan ekonomi Malaysia menunjukkan tetap berada di laluan pertumbuhan yang baik walaupun berlaku beberapa ketidakstabilan dalam jangka pendek.

Katanya, Malaysia juga sebuah negara yang mudah dalam menjalankan perniagaan dan mesra dengan perdagangan dan pelaburan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendedahkan Malaysia bakal menjadi kuasa ekonomi ke-24 terbesar dunia pada 2050.

Beliau berkata pencapaian itu secara langsung menguntungkan rakyat kerana hasil ekonomi yang kukuh membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

Antaranya membina lebih banyak hospital dan klinik selain memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Hakikatnya peningkatan ekonomi sesebuah negara tidak berlaku dalam sehari atau dalam tempoh yang singkat. Ia mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti… namun, boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

“Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan unsur atau pihak yang cuba meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini kerana inilah tanah air kita,” kata Najib. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *