Malaysia semakin hampir diiktiraf sebagai negara maju menjelang 2022

Menerusi kemaskini indeks dikeluarkan Bank Dunia, negara Malaysia dijangka semakin hampir berada pada landasan yang tepat ke arah negara maju menjelang tahun 2022.

Menurut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kemaskini laporan Bank Dunia pada tahun ini telah menunjukkan pembangunan Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan positif.

Beliau berkata, pertumbuhan positif itu juga telah membuktikan Malaysia sudah semakin hampir untuk diiktiraf sebagai negara maju.

“Bank Dunia telah kemaskini kadar pertumbuhan Malaysia pada tahun ini daripada 5.2 kepada 5.4 Tahun sudah, Bank Dunia telah melakukan kemaskini sebanyak tiga kali, ertinya dalam masa setahun, empat kali ia dikemaskini oleh Bank Dunia.

“Bermakna kita berada dalam landasan tepat malah Bank Dunia turut meramalkan menjelang 2022, kemungkinan besar Malaysia boleh diiktiraf sebagai negara maju,” katanya.

Jelasnya, kerajaan di bawah pimpinannya juga berusaha pelbagai inisiatif dan langkah untuk pembangunan negara supaya ia dapat diagihkan kepada rakyat secara keseluruhan.

Najib berkata, setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pastinya adalah untuk kebaikan rakyat selain menyediakan pelaung pekerjaan.

“Salah satu projek besar yang akan bawa perubahan termasuk di Pahang ialah projek ECRL yang dalam pelaksanaan. Laluan yang melalui kawasan seperti Bentong, Temerloh, Maran dan sebagainya ini akan mewujudkan stesen-stesen yang baru.

“Menariknya projek ini juga melalui kawasan Genting dan Bentong dengan pembinaan terowong terpanjang di Asia Tenggara iaitu 20 kilometer. Apabila siap sepenuhnya rakyat akan menikmati sistem pengangkutan keretapi moden seperti di Switzerland,” katanya.

Selain itu, katanya segala projek pembangunan dilakukan kerajaan juga memberi fokus kepada pembangunan yang berpusatkan rakyat.

“Ini dilaksanakan melalui projek seperti Central Spine Road, projek loji rawatan air seluruh Pahang, Taman Halal Gambang, Taman Automotif Pekan dan Kawasan Perindustrian Kuantan, semuanya bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Malah saya diberitahu, projek pembangunan termasuk ECRL berjaya wujudkan bilangan pekerjaan yang besar, di Pahang sahaja lebih 64,000 dan lebih 277,000 isi rumah nikmati manfaat pembangunan termasuk projek agropolitan dan keusahawanan,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *