Media sosial platform terbaik dekati pengundi muda pada PRU14

Pengerusi Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia merangkap Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr. Adnan Hussein berkata, media sosial boleh menjadi platform terbaik untuk mendekati pengundi golongan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata, pengundi golongan muda dikenal pasti antara 20 hingga 30 peratus kumpulan yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mahupun parti politik pada pilihan raya akan datang.

Katanya, pengundi golongan muda ini boleh dikatakan pengundi atas pagar dan pihak media serta parti politik boleh mengambil peluang untuk memastikan keputusan dibuat pada hari mengundi akan datang.

“Kumpulan ini adalah pengguna media sosial yang aktif dan bermakna mereka ada di mana-mana kerana menggunakan gajet dan telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU14, di Kuala Lumpur, semalam.

Dr. Adnan juga berkata, kumpulan muda yang dianggarkan mencecah hampir 10 juta pengundi itu berusia antara 21 hingga 49 tahun.

Menurut beliau, pihak media perlu memainkan peranan untuk mempengaruhi pengundi membuat keputusan dengan mengetengahkan bahan-bahan berita yang diyakini kerana kumpulan ini mahukan kandungan yang positif dan menjamin masa depan.

“Bukannya kutuk mengutuk atau kata-kata retorik yang sukar dipercayai,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani turut senada Dr. Adnan dengan berkata, media sosial merupakan pentas terbaik untuk mendekati kumpulan sasar ini memandangkan ia sememangnya menjadi amalan hidup kumpulan itu.

“Tumpuan perlu diberikan kepada pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun.

“Mereka ini yang jumlahnya mencecah kira-kira tujuh juta perlu dipikat, selain pengundi pertama kali seramai 1.96 juta,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *