Misteri Lagun Kuala Semerak yang menakutkan penduduk setempat

Kebanyakkan penduduk di Pasir Puteh, Kelantan pasti mengetahui tentang lagun Kuala Semerak. Lagun ini memang cukup indah dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam negara sama ada ingin berkelah atau mandi-manda.

Bagaimanapun, bagi penduduk di kawasan terbabit lagun itu mempunyai kisah misteri tersendiri yang menakutkan. Lagun itu mula menjadi misteri dan menakutkan penduduk tempatan akibat kehilangan banyak nyawa yang lemas ketika bermain air di lagun terbabit.

Selain sebagai tempat yang sesuai untuk bermandi manda dan berkelah, lagun itu juga mempunyai banyak siput sungai seperti kepah, tijah, lala serta ketam. Terdapat antara penduduk tempatan yang akan ke lagun itu untuk mencari sumber rezeki.

Seorang penduduk tempatan Mohd Nor Abdullah, 48, menjelaskan kawasan lagun itu memang dianggap keras oleh penduduk sekitar. Beliau yang sering ke lagun itu untuk mencari rezeki menangkap kepah dan menjala udang sendiri pernah berjumpa dengan satu lembaga besar.

“Kita tidak boleh menafikan wujudnya makhluk lain di dunia ini dan jangan mudah terpedaya dengan ‘mainan’ mereka sehingga kita lalai. Sebenarnya sepanjang mencari rezeki dengan memunggut kepah dan menjala udang saya sendiri beberapa kali pernah diusik terutamanya apabila berada di lagun menjelang senja.

“Saya pernah menemui satu lembaga besar yang menggoncang pokok ru sebelum ‘makhluk’ itu dilihat terjun ke dasar sungai dan mengeluarkan buih yang sangat banyak.

“Ketika itu saya menahan rasa takut dan terus menebar jala dengan niat mahu mengetahui apakah benda itu tetapi hampa. Saya percaya itu semua usikan makhluk lain yang cuba menakut-nakutkan kita sahaja, ” katanya.

Sementara itu, seorang pencari ketam yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Man, 52, berkongsi cerita tentang pengalaman seorang pencari ketam dua tahun lalu berjumpa dengan ketam bersair besar tayar kereta.

“Apa yang saya dengar lelaki itu terjumpa dengan seekor ketam bersaiz gergasi dan terus mengekorinya selama beberapa minit sehingga ketam dilihat masuk ke dalam air. Lelaki terbabit yang mengekori ketam itu tidak menyedari dia sudah berada di kawasan berselut tebal dan hanya tersedar apabila berasa kakinya melekat dan sukar bergerak.

“Mujurlah jeritan meminta tolongnya didengari orang lain yang datang menyelamatkannya. Jika tiada sesiapa menolong kemungkinan dia lemas apabila air laut pasang di Kuala Semerak,” katanya.

Apapun, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan dari bermandi manda di tempat yang didapati banyak kes lemas untuk keselamatan diri. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *