Mukhriz dakwa semua rakyat Kedah sokong logo ‘mata’

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir begitu yakin tindakan menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti bukan masalah besar bagi rakyat negeri Kedah.

Keyakinkan beliau itu berdasarkan logo “mata” merujuk PKR sudah dikenali rakyat negeri Jelapang Padi itu.

“Bukan soal kenal ke tak kenal, tapi dalam Pakatan Harapan terlampau banyak logo.

“Bayangkan di kertas undi hitam putih, kalau kertas DUN ada logo dacing, bulan dan bunga, dan kertas Parlimen ada logo dacing, bulan dan Amanah, jadi orang tak nampak bahawa bunga dan PAN satu pihak,” katanya yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga cuba menegaskan keputusan untuk menggunakan satu logo pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan proses pemilihan.

“Sekarang ini kita giat promosikan logo PKR supaya orang kenal.

“Di Kedah, kami masih pakai baju merah PPBM dan Pakatan Harapan, tapi lambang kita letak logo PKR, jadi orang boleh kaitkan Pakatan Harapan ini dengan PKR,” katanya.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan telah mengesahkan keempat-empat parti komponen dalam pakatan pembangkang itu akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 yang bakal muncul tidak lama lagi.

Sementara itu, anak bekas perdana menteri keempat itu juga berkata, Pakatan Harapan akan memastikan peratusan yang keluar mengundi pada 9 Mei nanti akan melebihi 85%, kerana yakin jumlah pengundi yang ramai akan memenangkan kempen merampas Putrajaya.

“Saya masih lagi berharap bahawa peratusan keluar mengundi tinggi. Kalau boleh lebih 85%, maka peluang kita untuk menang itu lebih tinggi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian bagi PRU-14, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal 5 Mei. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *